BANGI, 14 Disember 2026 – Olympia Education Malaysia hari ini mencipta sejarah baharu industri sukan negara apabila melancarkan Pelan Pembangunan Golf Olympian 2026–2030, satu inisiatif nasional berskala besar yang disifatkan mampu mengubah wajah golf Malaysia ke peringkat serantau dan global.

Berteraskan tema “Membina Pemain Golf, Membentuk Pemimpin”, pelan ini menegaskan golf bukan sekadar sukan elit, sebaliknya platform strategik pembangunan kepimpinan, pembinaan karakter, penglibatan komuniti serta pencungkil bakat generasi masa depan.

Majlis berprestij ini turut diserikan dengan kehadiran barisan tokoh ternama negara sebagai tetamu kehormat dan jemputan khas, antaranya YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Balia Yusof bin Haji Wahi, Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, serta YBhg. Dato’ Seri Dr. Zulkapli bin Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia (KPPA), yang masing-masing turut berkongsi pandangan strategik mengenai peranan golf dalam pembangunan kepimpinan dan tadbir urus negara.

Turut hadir sebagai VIP ialah tokoh korporat dan usahawan terkenal Hanar Jaafar (Jutawan Maliana), Dato’ Md Pishal, serta Dato’ Nashrul Mokhtar, sekali gus mencerminkan sokongan padu sektor swasta terhadap agenda pembangunan golf negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Olympia Education Malaysia, Dato’ Seri Hj. Abdul Rani Hj. Osman, berkata pelan ini dirangka secara holistik dengan sokongan kerjasama merentas sektor melibatkan institusi pendidikan, agensi kerajaan, pengendali kelab golf swasta serta rakan teknologi.

“Kami mahu membina satu ekosistem golf yang mampan, inklusif dan berdaya saing, selari dengan aspirasi MADANI, prinsip ESG, serta matlamat pembangunan pelancongan negara,” katanya.

Sementara itu, Dr. Shalieza Binti Razali, Ketua Pegawai Strategi & Operasi Olympia Education Malaysia, menjelaskan bahawa pelan ini dibina berteraskan enam teras utama, iaitu pembangunan akademi golf, pengurusan kelab lestari, kejohanan dan perwakilan profesional, teknologi dan inovasi, pelancongan golf, serta penglibatan komuniti.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan termasuk laluan pembangunan berperingkat daripada pemain junior hingga elit, pengurusan kelab golf mesra alam berteknologi tinggi, penganjuran Olympia Junior Open dan Olympia Invitational Series, serta penubuhan Olympia Golf Innovation Labs yang dilengkapi teknologi AR/VR, robotik dan sistem IoT pintar.

Penasihat Grand Finale Olympian Golf Tour 2025, Dr. Hassan Marzukhi, menyifatkan pelan ini sebagai pemangkin utama kepada kelahiran bakat golf tempatan bertaraf antarabangsa, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada industri sokongan.

Menjelang tahun 2030, Olympia menyasarkan untuk:

•Melatih 10,000 pemain golf
•Melahirkan 100 jurulatih profesional
•Mengurus 5 kelab golf bersijil ekologi
•Menarik 10,000 pelancong golf setiap tahun

Keseluruhannya, inisiatif ini diunjurkan menyumbang sehingga RM50 juta kepada ekosistem sukan dan pelancongan Malaysia, sekali gus meletakkan negara sebagai hab pendidikan dan pelancongan golf terkemuka di rantau Asia.

#OlympianGolf2030
#RevolusiGolfMalaysia
#GolfSebagaiKepimpinan
#GolfDanMADANI
#PelanPembangunanGolf
#GolfLestari
#GolfTeknologi
#PelanconganGolfMalaysia
#AATVNews
#MalaysiaHabGolf

Leave a Reply