
KUALA LUMPUR, 15 Disember 2025 – Keprihatinan terhadap beban kos sara hidup yang semakin mencengkam keluarga berpendapatan rendah terus mendapat perhatian apabila Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersama Eco-Shop Malaysia menghulurkan bantuan asas Kembali ke Sekolah bernilai RM120,000 kepada 600 murid kurang berkemampuan di Kuala Lumpur.
Inisiatif dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) ini menyaksikan setiap pelajar menerima baucar RM50 daripada Eco-Shop bagi pembelian barangan sekolah, selain bantuan kewangan RM150 daripada YWP dan DBKL yang disalurkan ke akaun PIBG sekolah masing-masing.



Menurut YWP, bantuan tunai ini bertujuan menampung yuran PIBG serta keperluan sukan dan kokurikulum, sekali gus memastikan murid tidak tercicir dan dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih bersedia serta yakin.
Majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Mayor’s Courtyard, Rumah Tangsi itu menghimpunkan 150 murid sekolah rendah dan menengah bersama guru pengiring dari 30 buah sekolah sekitar Kuala Lumpur. Para penerima dipilih daripada keluarga kategori B40, sekali gus menegaskan keperluan bantuan segera dan praktikal untuk golongan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata, kerjasama antara sektor korporat dan kerajaan membuktikan bahawa sumbangan kecil mampu memberi impak besar kepada masa depan pelajar.
“Apabila kita bekerjasama dengan niat yang tulus, perubahan yang bermakna boleh berlaku. Kami mengalu-alukan lebih banyak agensi, syarikat dan individu untuk bersama-sama menjayakan usaha murni ini demi generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia, Puan Jessica Ng, menegaskan bahawa peningkatan kos hidup memberi tekanan besar kepada keluarga, khususnya menjelang pembukaan sekolah.

“Kami melihat inisiatif ini bukan sekadar bantuan, tetapi pelaburan jangka panjang untuk generasi masa depan yang akan membentuk kemajuan Malaysia,” jelas beliau.
Sebagai pelengkap, Eco-Shop turut melancarkan kempen Riang Ria Hari Sekolah yang berlangsung sehingga 11 Januari 2026, bagi membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan dengan lebih mampu milik di tengah tekanan kos sara hidup.


Inisiatif ini sekali lagi menegaskan bahawa kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pendidikan, selain membuktikan bahawa kerjasama strategik mampu membina sistem sokongan mampan untuk pelajar, keluarga dan komuniti di Kuala Lumpur, malah berpotensi diperluaskan ke Putrajaya dan Labuan.
#KembaliKeSekolah
#BantuanPendidikan
#AnakB40
#YayasanWilayahPersekutuan
#EcoShopMalaysia
#PrihatinRakyat
#PendidikanUntukSemua
#KosSaraHidup
#GenerasiMasaDepan
#AATVNews