
BUKIT JALIL, 10 Jun 2026 – Institut Sukan Negara (ISN) hari ini secara rasmi mengumumkan jenama tempatan popular, Himalaya Sports, sebagai Rakan Strategik Korporat baharu bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Langkah proaktif ini direalisasikan menerusi kerangka Perkongsian Awam-Swasta (Public-Private Partnership – PPP) bertujuan untuk memperkukuh pembangunan sukan negara serta mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Majlis pelancaran dan pemeteraian kontrak yang berlangsung di Institut Sukan Negara baru-baru ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ISN, Datuk Seri Zulkarnain, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy, serta Pengarah Urusan Himalaya Sports, Datuk Kenny Low.

Menurut Dr. Vellapandian, kerjasama ini bukan sahaja membawa impak positif dari sudut kewangan (monetary) dan sokongan produk, malah ia bakal melibatkan pakar pemakanan sukan serta dietitian ISN dalam mengesyorkan produk ini sebagai sebahagian daripada suplemen latihan atlet negara sekiranya bersesuaian.
”Himalaya Sports mengandungi garam asli yang merupakan instrumen penting dalam pemakanan sukan untuk memastikan atlet mendapat nutrien dan suplemen terbaik ketika berlatih mahupun bertanding.
”Apabila atlet kita sendiri yakin dan menggunakannya, ia akan menjadi asas untuk kita memupuk budaya sihat dalam kalangan masyarakat di luar sana supaya turut menyokong produk buatan tempatan yang terjamin kualiti dan keselamatannya,” katanya ketika mengulas mengenai pelantikan tersebut.

Beliau turut menambah, pemilihan Himalaya Sports sebagai rakan korporat membuktikan integriti serta standard profesionalisme tinggi yang diamalkan oleh ISN dalam meng-endorse produk yang memenuhi keperluan komuniti sukan secara keseluruhan.
Sementara itu, memetik ucapan perasmian YB Tuan Mordi Bimol, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan sukan negara tidak seharusnya dipikul oleh pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sinergi padu daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Himalaya Sports, Datuk Kenny Low melahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan oleh ISN, sekali gus menyifatkan kehadiran logo ISN pada pembungkusan produk mereka selepas ini sebagai satu pengiktirafan tertinggi terhadap kredibiliti jenama tersebut.

”Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, Himalaya Sports kini telah menembusi pasaran di lebih 10 buah negara. Diperbuat daripada Garam Himalaya asli, produk kami sentiasa memegang prinsip ‘Sukan Untuk Semua’ di mana produk berkualiti tinggi ditawarkan pada harga mampu milik untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, daripada pelajar sekolah, atlet pembangunan sehinggalah masyarakat awam,” jelas Datuk Kenny.


Selain fokus kepada prestasi sukan dan gaya hidup sihat, kerjasama strategik ini juga akan menyokong pelbagai inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta program komuniti anjuran ISN seperti hari terbuka, seminar, dan program pendidikan sukan akar umbi demi melahirkan masyarakat Malaysia Madani yang lebih aktif, sihat, dan produktif.
#BeritaAATV #HimalayaSports #InstitutSukanNegara #SukanUntukSemua #ProdukTempatan