KUALA LUMPUR, 19 Disember 2025 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara tampil menyuarakan keprihatinan terhadap satu kes perintah hak penjagaan bayi secara ex-parte yang didakwa menimbulkan persoalan serius terhadap prosedur keadilan dan kebajikan kanak-kanak di bawah umur.

Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, dalam satu sidang media berkata pihaknya terlebih dahulu merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Arif Dato’ Hashim bin Hamzah atas pelantikan sebagai Hakim Besar Malaya, sambil berharap kepimpinan baharu itu dapat terus memperkukuh sistem kehakiman negara.

Menurut beliau, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara telah menerima aduan daripada seorang ibu muda, Dinitha a/p Madhavan, yang kini menetap di Sungai Petani, Kedah, berkaitan satu perintah hak penjagaan bayi berusia dua tahun yang diperoleh oleh suaminya secara ex-parte di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 9 Oktober 2025.

“Difahamkan, perintah tersebut dikeluarkan tanpa pengetahuan ibu kepada bayi berkenaan, walaupun pasangan itu masih belum memfailkan sebarang petisyen perceraian dan kini tinggal berasingan di dua negeri berbeza,” katanya.

Tambah beliau, lebih membimbangkan, perintah ex-parte itu didakwa tidak diserahkan secara penyampaian kediri atau melalui pos berdaftar, sebaliknya hanya dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp oleh pihak ketiga. Keadaan ini menyebabkan ibu terbabit terkejut dan bimbang terhadap keselamatan serta kebajikan anaknya yang masih memerlukan penjagaan rapi seorang ibu.

Situasi menjadi lebih tegang apabila pada awal November 2025, suami kepada pengadu datang ke Kedah untuk melaksanakan perintah tersebut, termasuk membawa bayi berkenaan keluar daripada jagaan ibunya. Dakwaan turut timbul apabila suami berkenaan membuat laporan polis dengan tuduhan penderaan terhadap ibu bayi, namun perkara itu dinafikan dan laporan balas telah dibuat oleh pihak ibu.

Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, isu utama yang dibangkitkan ialah keputusan Mahkamah memberikan perintah ex-parte melibatkan penjagaan seorang bayi, tanpa mendengar kedua-dua pihak terlebih dahulu.

“Dalam kes melibatkan nyawa dan kebajikan seorang kanak-kanak, Mahkamah seharusnya mempertimbangkan untuk menukar permohonan ex-parte kepada pendengaran inter-parte bagi memastikan keadilan menyeluruh kepada semua pihak,” tegas beliau.

Beliau turut memetik pandangan pengamal undang-undang bahawa Mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengarahkan penyampaian notis kepada responden serta mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum sebarang perintah dikeluarkan, khususnya dalam kes sensitif melibatkan kanak-kanak.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 8 Disember 2025, ibu kepada bayi berkenaan hadir ke Mahkamah Johor Bahru, di mana satu pertemuan di kamar telah diadakan dan perintah ex-parte tersebut dipinda. Namun, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mempersoalkan mengapa tiada peluang diberikan kepada responden untuk memfailkan afidavit atau hujahan bertulis sebelum keputusan dibuat.

“Kami berpandangan situasi ini boleh memberi persepsi negatif serta mencemarkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara merayu agar pihak kehakiman meneliti semula prosedur yang digunakan dalam kes ini demi menjamin keadilan, keselamatan dan kebajikan seorang bayi perempuan berusia dua tahun.

“Kami hanya bersuara bagi pihak seorang ibu dan seorang bayi yang tidak berdosa, demi menegakkan keadilan serta integriti sistem kehakiman negara,” katanya.

#BeritaAATV #HakPenjagaanAnak #KeadilanUntukIbu #ExParte #KebajikanKanakKanak #IsuMahkamah #SuaraRakyat #IntegritiKehakiman #KesViral #MalaysiaPrihatin

Leave a Reply