KUALA LUMPUR, 19 Disember 2025 – Selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di bawah kerangka Malaysia MADANI, Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025, bersempena sambutan Hari Krismas yang diraikan pada 25 Disember 2025.

Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, dalam kenyataan rasminya memaklumkan bahawa diskaun tersebut akan melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1, termasuk Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang, dan terpakai di semua plaza tol di seluruh negara, kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (LINKEDUA).

Menurut beliau, Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan berjumlah kira-kira RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat.

“Pemberian diskaun ini bertujuan meringankan kos perjalanan rakyat yang merancang pulang ke kampung halaman, melawat keluarga atau bercuti bersama orang tersayang sempena musim cuti sekolah dan perayaan Hari Krismas,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif ini juga selari dengan usaha Kerajaan MADANI dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan kepercayaan, di samping memperkukuh nilai perpaduan nasional.

Pemilihan tarikh 23 dan 24 Disember turut mengambil kira aspek penyuraian trafik musim perayaan, khususnya bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya ketika pergerakan keluar dan masuk bandar, selain mengoptimumkan operasi kawasan Rehat dan Rawat (RSA) serta hentian sebelah (Lay By).

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menyeru pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan dengan bijak menggunakan aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA, serta mematuhi jadual cadangan perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang disyorkan.

Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi had laju, papan tanda serta peraturan jalan raya demi keselamatan semua pihak. Status trafik terkini boleh disemak melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X dan TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

“Pandu dengan berhemah, berehat jika letih dan mengantuk. Marilah kita bersama-sama memastikan lebuh raya negara kita sentiasa selamat, bersih dan selesa serta berusaha mengurangkan statistik kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Krismas 2025” dan “Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026” kepada seluruh rakyat Malaysia.

#DiskaunTol
#Krismas2025
#MalaysiaMADANI
#BeritaAATV
#Tol50Peratus
#RakyatDidahulukan
#KosSaraHidup
#BalikKampung
#InfoTrafik
#KKRPrihatin

Leave a Reply