KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 – Aktivis masyarakat, Baha Taha, menyuarakan kegusaran dan kebimbangan terhadap pelantikan barisan kepimpinan baharu Kerajaan Persekutuan, khususnya melibatkan Kementerian Wilayah Persekutuan, susulan pengumuman kabinet terbaharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).

Menurut beliau, pelantikan YB Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan bersama timbalannya yang bukan beragama Islam telah menimbulkan keresahan dalam kalangan sebahagian masyarakat Melayu Bumiputera, terutamanya berkaitan isu kebajikan ekonomi, perlesenan dan kelangsungan hidup lebih 100,000 peniaga serta penjaja kecil di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Baha Taha menegaskan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya berada secara langsung di bawah bidang kuasa kementerian tersebut, justeru beliau mencabar kepimpinan baharu agar lebih prihatin terhadap isu perlesenan penjaja kecil, termasuk mengkaji semula pelaksanaan Skim Lesen Prihatin yang pernah dilaksanakan secara percuma ketika pandemik COVID-19.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar satu bancian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, sebagai asas kepada dasar yang lebih adil dan berkesan.

Dalam aspek pembangunan bandar, Baha Taha mencadangkan pembinaan pasar karat di sepanjang Tebing Sungai Klang, khususnya berhampiran Jalan Putra, sebagai usaha merancakkan ekonomi komuniti setempat.

Isu perumahan rakyat (PPR) turut dibangkitkan sebagai masalah kronik yang belum menemui penyelesaian tuntas, apabila kekurangan projek baharu rumah kos rendah dan sederhana menyebabkan penduduk bandar terus terhimpit. Beliau menyeru agar kementerian berkaitan melancarkan projek perumahan baharu yang lebih selesa dan mampu milik untuk warga kota.

Beliau juga menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir yang tertangguh sejak 2021, dengan mencadangkan pembinaan sistem terowong baharu dari Dataran Merdeka ke Sungai Klang melalui Bangsar, bagi menangani banjir kilat yang kerap melanda kawasan tengah dan selatan Kuala Lumpur seperti Masjid India dan Chow Kit.

Dalam pada itu, isu kesesakan lalu lintas, sistem parkir yang tidak efisien serta lif usang di PPR turut dibangkitkan, dengan gesaan agar DBKL beroperasi secara pemantauan 24 jam demi kesejahteraan penduduk.

Mengakhiri kenyataannya, Baha Taha menyeru agar Menteri Wilayah Persekutuan dan kepimpinan baharu mengamalkan pendekatan “buta warna”, tanpa mengira bangsa dan agama, serta memberi layanan adil dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa NGO-NGO berdaftar di bawah ROS bersedia bekerjasama dengan kerajaan demi memajukan dan memakmurkan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia.

#BeritaAATV #IsuWilayah #KualaLumpur #PenjajaKecil #PPR #BanjirKL #KabinetBaharu #SuaraRakyat #AktivisNGO #WilayahPersekutuan

Leave a Reply