
PUTRAJAYA, 20 Disember 2025 – Isu berkaitan hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel tidak seharusnya terus menjadi polemik sehingga mengelirukan peniaga, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dr Zulkifli Hasan, sebelum ini telah memperjelaskan bahawa hiasan bertemakan sambutan Hari Natal tidak melanggar syarat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Penjelasan tersebut wajar dihormati dan dijadikan panduan bersama oleh semua pihak agar pelaksanaan di lapangan dapat dibuat secara konsisten, jelas dan tidak bercanggah, sekali gus mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peniaga dan penguat kuasa.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong, sudah tiba masanya perniagaan di Malaysia terus dipermudahkan tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah, khususnya dalam sektor makanan serta perhotelan yang melibatkan ramai PMKS tempatan.
Beliau menegaskan bahawa proses dan prosedur kerajaan di semua peringkat perlu diselaraskan dan dipermudahkan, supaya peniaga dapat beroperasi dengan yakin tanpa berdepan pelbagai tafsiran peraturan yang berbeza-beza.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan peniaga, malah boleh memberi kesan langsung kepada kelangsungan perniagaan PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, usaha tersebut selari dengan pelaksanaan Strategi ABCD oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang merangkumi:
A – Anjakan produktiviti
B – Birokrasi dipermudahkan
C – Capaian modal
D – Daya akses pasaran
Strategi ini bertujuan memastikan ekosistem keusahawanan negara lebih inklusif, progresif dan berdaya saing, sekali gus menyokong perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk Malaysia.
#IsuHariNatal #StatusHalal #PMKSMalaysia #EkonomiInklusif #MalaysiaMadani #BirokrasiDipermudah #PerpaduanMalaysia #UsahawanTempatan #AATV #BeritaSemasa