PUTRAJAYA 6 FEBRUARI 2026: Bersempena Festival Hari Terbuka Nasyrul Quran, Yayasan Restu melalui Kompleks Nasyrul Quran di sini, meluncurkan penghantaran 40,000 naskhah Al-Quran berserta terjemahannya dalam dua kontena ke Amerika Syarikat, Ivory Coast dan Ghana.

Penghantaran ini merangkumi 20,000 naskhah Al-Quran terjemahan bahasa Inggeris, Sepanyol Eropah dan Sepanyol Latin ke Washington, Amerika Syarikat dan selebihnya dengan terjemahan bahasa Perancis dan Inggeris ke Ivory Coast dan Ghana.

Inisiatif ini ialah sebahagian daripada projek Solidariti Wakaf Sejuta Al-Quran yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyebarkan risalah Al-Quran dengan terjemahan pelbagai Bahasa ke seluruh dunia.

Majlis peluncuran ini disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan di kompleks berkenaan di Presint 14 di sini sejurus selepas solat fardu Jumaat hari ini.

“Penghantaran ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyebarkan nilai Islam dan ilmu Al-Quran ke seluruh dunia.

“Misi logistik ini juga satu amanah dakwah dan kemanusiaan serta melambangkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam memperkukuh kefahaman Islam yang rahmat bagi seluruh alam,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk (Dr.) Abdul Latiff Mirasa berkata, “inilah sebahagian komitmen kami dalam menyokong aspirasi negara sebagai hab percetakan, penterjemahan dan pengedaran Al-Quran bertaraf antarabangsa.

“Penghantaran ini melengkapkan lebih 553,966 naskhah yang sudah disalurkan ke beberapa negara melalui pelbagai agensi dan organisasi.

“Kami jangkakan penerbitan dan percetakan peringkat pertama terjemahan Al-Quran Fasa Kedua ke dalam 12 bahasa lagi seperti Finland, Greek dan Uzbek,” katanya.

Kejayaan penghantaran ini menurutnya, dicapai hasil sokongan kuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Sementara itu, satu langkah penting memperkukuh ekosistem wakaf Al-Quran turut dizahirkan hari ini menerusi pelancaran Platform Digital Global Wakaf Al-Quran (GWAQ) di kompleks sama bersempena pelepasan dua kontena tersebut.

GWAQ hasil kerjasama Yayasan Restu dan ToyyibPay, menggabungkan legasi percetakan dan pengedaran mushaf Al-Quran dengan keupayaan teknologi digital yang telus dan berintegriti.

Platform ini membolehkan penyertaan ummah, institusi dan organisasi secara berterusan pada peringkat global terutamanya dengan akses kepada lebih 200,000 peniaga dalam rangkaian ToyyibPay.

ToyyibPay mampu memperluas ekosistem pembayaran dan sumbangan digital melalui kerjasama dengan rakan teknologi dan syarikat kiriman wang antarabangsa bagi menyokong kehadiran GWAQ pada peringkat global.

“Pendekatan yang menggabungkan tindakan fizikal melalui pelepasan kontena Al-Quran dan kesinambungan digital melalui GWAQ selari hasrat memperkukuh tadbir urus wakaf yang mampan, terangkum dan berimpak,” kata Zulkifli.

Leave a Reply