KUALA LUMPUR – Sambutan Aidilfitri 2026 menyaksikan jenama fesyen tempatan, Amber, tampil dengan interpretasi baharu yang sarat emosi dan nilai warisan menerusi pelancaran koleksi terbaharunya yang dipayungi kempen “AMBER EID’S: TIME FOR LOVE”.
Pelancaran ini turut menandakan pengenalan koleksi eksklusif sulung Amber LUXE, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama itu dalam landskap fesyen moden tempatan.
Meneruskan momentum kejayaan koleksi Raya Romantics sebelum ini, Amber menzahirkan pendekatan kreatif yang lebih matang dan mendalam bagi koleksi Aidilfitri tahun ini.
Fokus utama kempen adalah kepada makna cinta, kebersamaan dan hubungan yang terjalin antara generasi, selari dengan semangat Syawal yang diraikan dalam suasana penuh kesyukuran dan kemesraan keluarga.

Koleksi Raya Amber 2026 diperagakan oleh barisan duta jenama yang terdiri daripada Amira Othman, Fattah Amin, Nora Danish dan Hael Husaini, yang masing-masing mewakili ekspresi gaya berbeza namun bersatu dalam identiti keanggunan moden Amber.
Kehadiran figura terkenal ini memperkukuh penceritaan kempen yang mengetengahkan fesyen sebagai medium untuk merakam kenangan dan emosi, bukan sekadar penampilan luaran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan, kempen “AMBER EID’S: TIME FOR LOVE” membawa mesej bahawa Aidilfitri adalah waktu untuk meraikan kasih sayang, menghargai warisan serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
“Setiap helaian busana direka dengan penuh ketelitian agar mampu menjadi sebahagian daripada memori indah yang dikenang, malah berpotensi diwariskan sebagai simbol nilai dan tradisi keluarga,” katanya.

Sebagai kesinambungan kepada penceritaan kempen, Amber memilih Istanbul sebagai lokasi penggambaran rasmi koleksi Raya 2026. Kota yang kaya dengan sejarah dan budaya Islam ini dipilih kerana keupayaannya menggabungkan elemen klasik dan nostalgia dengan sentuhan moden, sejajar dengan DNA rekaan Amber.
Penggambaran ini turut membabitkan barisan duta serta wajah jenama, termasuk Scha Alyahya dan menjanjikan kandungan eksklusif khas dari Istanbul untuk tontonan di UTV.
Bagi koleksi utama “Amber Eid’s: Time for Love”, Amber mempersembahkan enam rekaan wanita dan dua rekaan lelaki yang diinspirasikan daripada seni bina, tekstur dan simbol warisan Istanbul.
Koleksi wanita menonjolkan siluet lembut dan flowy menggunakan fabrik ringan yang dihiasi ruffle halus serta sulaman terperinci, menggambarkan keanggunan feminin yang sesuai untuk sambutan Syawal.

Setiap rekaan membawa naratif tersendiri, daripada simbol bunga tulip Uthmaniyyah hingga ke pengaruh seni seramik İznik dan kemewahan istana Turki Uthmaniyyah.
Sementara itu, koleksi lelaki pula menampilkan pendekatan yang lebih ringkas dan praktikal dengan potongan regular fit serta penggunaan fabrik kapas yang selesa.
Diilhamkan daripada motif bersejarah Topkapı, rekaan ini menggabungkan elemen warisan dengan gaya moden melalui palet warna semula jadi, menjadikannya sesuai untuk digayakan pada pagi Raya mahupun dalam rutin harian.

Sebagai pelengkap kepada koleksi utama, Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection diperkenalkan sebagai ekspresi fesyen yang lebih eksklusif dan sofistikated.
Digayakan oleh Hael Husaini dan Scha Alyahya, koleksi ini menggunakan material premium seperti satin mewah dan chiffon sutera ringan, dengan perincian lipatan, ruffle romantik serta kemasan reben yang halus.
Setiap rekaan menampilkan siluet kemas dan keanggunan abadi, melambangkan cinta, dedikasi dan penghargaan terhadap seni pembuatan berkualiti tinggi.
Amber LUXE direka sebagai koleksi istimewa yang bukan sahaja sesuai untuk digayakan pada Aidilfitri, malah berpotensi menjadi busana warisan yang mencerminkan keindahan dalam kesederhanaan dan nilai yang berkekalan.
Kesemua koleksi Amber Raya 2026, termasuk “Amber Eid’s: Time for Love Collection” dan “Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection”, kini boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web rasmi Amber, dengan beberapa rekaan ditawarkan untuk pra-tempahan.
Pembelian secara fizikal pula boleh dilakukan di butik Amber yang baharu di IOI City Mall, Putrajaya, bermula 9 Februari ini.
Maklumat lanjut dan kemas kini terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi serta akaun Instagram Amber di @amber.officials.