
KELANA JAYA, 9 Januari 2026 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) meneruskan komitmen membela golongan rentan apabila melancarkan Program Sinar Kasih Ramadhan (SKR) 1447H / 2026M, sebuah inisiatif tahunan yang kini memasuki tahun ke-18 sejak diperkenalkan pada 2008.
Menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak yang dijangka bermula pada 19 Februari 2026, program ini akan menyantuni 400 keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih di seluruh negara melalui sumbangan tunai bagi perbelanjaan berbuka puasa dan bersahur, selain bantuan barangan keperluan asas hasil sokongan rakan penaja korporat.

Sejak dilaksanakan hampir dua dekad lalu, Program Sinar Kasih Ramadhan telah memberi manfaat kepada 4,071 keluarga, dengan jumlah sumbangan tunai terkumpul mencecah RM1.5 juta. Pencapaian ini mencerminkan usaha konsisten YBK bersama masyarakat dan rakan strategik dalam meringankan beban kewangan golongan memerlukan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Bagi memastikan keberkesanan dan ketelusan bantuan, pemilihan penerima dibuat melalui pelbagai saluran termasuk pihak sekolah, pemimpin komuniti, rakan NGO serta sukarelawan YBK. Setiap maklumat penerima akan melalui proses semakan dan pengesahan sebelum sumbangan disalurkan, dengan laporan pelaksanaan dipaparkan di platform media sosial serta laman web rasmi YBK.


Menariknya, Program SKR 2026 turut berperanan sebagai platform yang “menjodohkan” pemegang taruh, melibatkan penyumbang, penaja, penerima manfaat serta agensi berkaitan seperti Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU JPM Selangor), Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Lembaga Zakat Selangor. Peranan YBK sebagai pemudah cara membolehkan bantuan disalurkan secara lebih berfokus dan berimpak tinggi.
Program ini turut disokong rakan strategik termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Coca-Cola Far East Limited, Brahim’s Dewina Group, Mamee-Double Deckers, Dutch Lady Milk Industries, PYBK Construction dan WANA Properties, selain kerjasama berterusan Yayasan Food Bank Malaysia.

YBK berharap pelaksanaan Program Sinar Kasih Ramadhan 2026 dapat memberi kelegaan kewangan kepada keluarga terlibat serta membantu mereka menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan penuh kesyukuran.
#SinarKasihRamadhan #YayasanBasmiKemiskinan #Ramadan2026 #PrihatinAsnaf #SantuniUmmah #BantuanRamadan #TanggungjawabSosial #DermaBersama #BeritaAATV #HarapanRamadan
