
KUALA LUMPUR, 14 Februari 2026 – Mesyuarat khas Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Lembah Pantai yang berlangsung petang tadi telah mencapai kata sepakat untuk membubarkan bahagian tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan sebulat suara itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin serta dihadiri oleh barisan kepimpinan termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Exco Kanan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian.
Menurut beliau, ruang telah diberikan sepenuhnya kepada semua kepimpinan bahagian untuk menyuarakan pandangan sebelum keputusan tersebut dimuktamadkan secara bersama.
Majoriti kepimpinan bahagian sebelum ini dilaporkan telah menghadiri Program Reset yang dianjurkan oleh Ronal Kiandee sebagai tanda solidariti terhadap deklarasi bersama melibatkan Hamzah Zainudin.
Muhamad Muqharabbin berkata keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan menyeluruh termasuk penilaian terhadap hala tuju perjuangan parti serta kepimpinan yang diyakini mampu memahami denyut nadi rakyat dan memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara secara konsisten.
Katanya lagi, sokongan luar biasa daripada kepimpinan dan akar umbi di seluruh negara terhadap Hamzah Zainudin jelas diterjemahkan melalui kehadiran Ahli Parlimen, ADUN, Ketua-Ketua Bahagian, ahli bersekutu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jentera parti dalam program Reset dan perjumpaan akar umbi di PAUM hari ini.
“Walaupun berdepan tekanan serta ugutan tindakan disiplin, para pemimpin dan ahli tetap hadir memberikan sokongan. Ini membuktikan bahawa beliau bukan sekadar pemimpin organisasi, tetapi tokoh yang berakar dalam perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, langkah pembubaran bahagian itu dilihat sebagai keputusan terbaik bagi meneruskan perjuangan politik yang lebih besar serta membina kekuatan berteraskan rakyat demi mempertahankan maruah dan masa depan negara.
#BeritaAATV #BERSATU #LembahPantai #PolitikMalaysia #HamzahZainudin #RonalKiandee #ResetPolitik #AkarUmbi #AgendaRakyat #Semasa