KUALA LUMPUR – Peminat K-pop tempatan bakal disajikan dengan sebuah malam penuh pesona apabila JOY, ahli kumpulan sensasi Red Velvet, diumumkan akan membawa jelajah solo beliau, 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH”, ke ibu negara pada 25 April 2026.
Konsert yang dinanti-nantikan itu akan berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur pada jam 8 malam, dianjurkan oleh Zues Event Sdn. Bhd.
Sebagai salah satu hentian penting dalam siri jelajah Asia beliau, “JOY SPLASH” menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni solo JOY.
Dikenali dengan vokal lembut yang memikat serta kehadiran pentas yang elegan, JOY dijangka mempersembahkan rangkaian lagu popularnya selain beberapa kejutan istimewa yang dirancang khusus untuk peminat setia, ReVeluv Malaysia.

Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjanjikan pengalaman audio-visual yang imersif dengan produksi pentas yang bergaya dan susunan persembahan yang dirangka teliti.
Elemen interaktif turut akan menjadi sebahagian daripada malam itu, memberi peluang kepada peminat untuk merasai hubungan yang lebih dekat dan bermakna bersama artis kesayangan mereka.
Aura ceria dan vibe positif yang sinonim dengan JOY dijangka memenuhi ruang konsert, mencipta kenangan manis yang sukar dilupakan.
Bagi menambah keterujaan, pelbagai fan benefits eksklusif turut disediakan oleh pihak penganjur, sekali gus membuka peluang kepada peminat untuk menikmati pengalaman yang lebih istimewa sepanjang acara berlangsung.
Perincian lanjut mengenai keistimewaan tersebut akan diumumkan melalui saluran rasmi penganjur dari semasa ke semasa.
Tiket bagi 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH” di Kuala Lumpur akan mula dijual pada 7 Mac 2026, jam 12 tengah hari menerusi laman web rasmi etix.my.

Harga tiket ditawarkan pada kadar RM698, RM598, RM498 dan RM398, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8 peratus.
Setiap transaksi dihadkan kepada maksimum empat tiket bagi setiap alamat e-mel, dengan caj tempahan RM4 bagi setiap tiket serta caj pemprosesan RM10 bagi setiap transaksi.
Dengan reputasi JOY sebagai antara vokalis paling disayangi dalam industri K-pop serta sokongan padu ReVeluv di Malaysia, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik antarabangsa paling hangat di Kuala Lumpur pada April 2026.
ReVeluv, bersedialah untuk dilimpahi pesona dan kegembiraan dalam sebuah malam istimewa bersama JOY yang pastinya akan meninggalkan impak mendalam.