default
GOMBAK, 5 Mac 2026 – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) meneruskan tradisi kebajikan Ramadan apabila berjaya menganjurkan program Ihya Ramadan dan Iftar yang menyaksikan lebih 1,000 penerima asnaf menerima Bakul Rahmah, selain 50 anak-anak istimewa menerima duit raya dalam satu majlis penuh bermakna.

Presiden PRESMA, Dato’ Mohammed Mosin Abdul Razak, berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial (CSR) persatuan dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika bulan Ramadan.

Menurut beliau, program berkenaan turut mendapat sokongan beberapa rakan strategik termasuk Nestlé Malaysia, Jasmine Food Corporation serta MBI (Menteri Besar Incorporated) yang menyumbangkan pelbagai bantuan makanan kepada penerima.
“Alhamdulillah hari ini kita berjaya membantu kira-kira 1,000 penerima dengan Bakul Rahmah, manakala 50 anak-anak istimewa turut menerima duit raya bagi menceriakan Ramadan mereka.

“Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Nestlé yang menyumbangkan pelbagai produk makanan, Jasmine yang memberikan 1,000 kampit beras, serta MBI yang membantu menyediakan 1,000 kotak makanan untuk diagihkan,” katanya.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, yang meluangkan masa hampir sejam bersama para penerima dan penganjur walaupun jadual beliau padat.
Menurut Mosin, PRESMA yang mempunyai 2,300 ahli berdaftar serta rangkaian kira-kira 11,000 vendor di seluruh Semenanjung Malaysia sentiasa komited untuk melaksanakan program kebajikan secara berterusan.
Beliau menjelaskan, selain program Ramadan, PRESMA turut aktif menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk membantu mangsa bencana seperti banjir dengan menyediakan dapur bergerak serta makanan kepada mangsa di pusat pemindahan.
“Sudah lebih 20 tahun kita melaksanakan pelbagai program kebajikan bersama madrasah, masjid dan NGO, namun kali ini kita hidupkan semula program yang dilaksanakan secara langsung oleh PRESMA sendiri,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mosin turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor mengenai beberapa isu yang dihadapi pengusaha restoran mamak, khususnya berkaitan pengambilan pekerja asing dan pelaksanaan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja).
Menurut beliau, proses mendapatkan sijil penginapan pekerja yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat agak rumit serta melibatkan kos tinggi kepada pengusaha.
“Kita bukan tidak mahu mematuhi peraturan kerajaan, tetapi prosesnya agak rumit dan kosnya tinggi. Jika kos meningkat, akhirnya ia akan memberi kesan kepada harga makanan kepada pengguna,” katanya.
Beliau bagaimanapun optimis selepas Menteri Besar Selangor memberi komitmen untuk membantu memudahkan proses berkenaan di negeri tersebut melalui perbincangan bersama pihak PBT.
Mosin berharap tahun 2026 akan membawa perubahan lebih baik kepada industri restoran, selain memberi ruang kepada pengusaha untuk terus menawarkan harga makanan yang berpatutan kepada rakyat.
#PRESMA #Ramadan2026 #IhyaRamadan #BakulRahmah #CSRMalaysia #RestoranMamak #BantuAsnaf #KomunitiPrihatin #Selangor!#BeritaAAC