
KINRARA, 8 Mac 2026 – Seramai kira-kira 50 hingga 60 anak yatim, asnaf serta ibu tunggal dari beberapa rumah kebajikan sekitar Puchong menerima sumbangan dalam satu program kebajikan sempena bulan Ramadan yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia.
Program tersebut turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha murni dalam membantu golongan memerlukan ketika Ramadan.

Menurut beliau, program seperti ini amat bermakna kerana Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, tetapi juga masa terbaik untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Sempena bulan Ramadan ini, perkara paling penting ialah mereka yang berkemampuan membantu golongan yang memerlukan. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan oleh pelbagai pihak supaya kita dapat bersama-sama mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan inklusif,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia, Dato’ Pauline, berkata pihaknya amat bersyukur kerana program kebajikan tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Beliau memaklumkan bahawa bantuan tersebut melibatkan kira-kira 60 penerima daripada tiga rumah kebajikan dan keluarga memerlukan sekitar Puchong, dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sekitar RM30,000.
Antara rumah kebajikan yang terlibat ialah Rumah Anak Yatim dan Asnaf Mesra Puchong serta Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa Puchong.
Menurut beliau, pihak persatuan berharap program seperti ini tidak hanya dilaksanakan sekali sahaja, sebaliknya dapat diteruskan secara berkala pada masa akan datang.
“Kami berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun dan diperluaskan lagi pada masa hadapan. Jika tahun ini kita membantu sekitar 60 penerima, mungkin tahun depan kita boleh menyasarkan 200 hingga 300 orang penerima,” katanya.
Tambah beliau lagi, usaha tersebut juga diharap dapat diperluaskan ke kawasan lain di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.
Program kebajikan sempena Ramadan ini sekali lagi membuktikan bahawa kerjasama antara pemimpin masyarakat, pertubuhan kebajikan dan komuniti mampu membawa manfaat besar kepada golongan yang memerlukan.

#RamadanBerkongsi #SantuniAsnaf #KinraraPrihatin #MalaysiaMadani #BantuYangMemerlukan #AnakYatim #Puchong #ProgramKebajikan #Ramadan2026 #BeritaAATV