default
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Seramai kira-kira 700 tetamu daripada pelbagai kaum menghadiri Majlis Iftar Perdana Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai 2026, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat setempat sepanjang Ramadan.
Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Dato’ Ahmad Nazri Ibrahim, berkata majlis tersebut turut menjemput 200 anak asnaf untuk bersama-sama berbuka puasa dan menerima sumbangan kewangan.
Menurut beliau, setiap anak asnaf menerima RM200 sebagai bantuan Ramadan bagi membantu meringankan beban keluarga mereka.
“Pada petang ini kita mengadakan majlis berbuka puasa dan kita jemput anak-anak asnaf seramai 200 orang. Setiap seorang menerima sumbangan sebanyak RM200,” katanya kepada pemberita.
Dalam majlis sama, pihak masjid turut menyalurkan sumbangan kepada sebuah sekolah tahfiz serta lima buah sekolah rendah dan menengah di bawah kariah Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai.
Setiap institusi menerima RM21,500, yang mana RM20,000 merupakan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) manakala RM1,500 lagi disumbangkan oleh pihak masjid dan Parlimen Bandar Tun Razak.
Menurut Ahmad Nazri, program Iftar Perdana tersebut merupakan acara tahunan masjid yang dianjurkan setiap Ramadan bagi mengeratkan hubungan masyarakat serta memupuk semangat perpaduan.
Tahun ini, katanya, pihak masjid turut menjemput masyarakat bukan Islam termasuk kaum Cina dan India dari sekitar Cheras untuk merasai sendiri suasana berbuka puasa bersama umat Islam.
“Ini adalah usaha kita untuk memperkenalkan bagaimana umat Islam menyambut Ramadan dan dalam masa sama mengeratkan hubungan antara kaum,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Nazri turut memaklumkan bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin selepas memegang jawatan tersebut selama kira-kira enam tahun.
Beliau berharap jawatankuasa baharu yang bakal dilantik akan meneruskan usaha memakmurkan masjid serta memperkukuh program kemasyarakatan yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai kini mempunyai kira-kira 9,000 hingga 10,000 penduduk kariah, dengan sekitar 80 peratus daripadanya beragama Islam.
Menurut Ahmad Nazri, masjid tersebut juga dikategorikan sebagai masjid bertaraf lima bintang di Wilayah Persekutuan kerana aktif menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan, pendidikan dan dakwah.
Antara program yang dilaksanakan termasuk ceramah agama, program muslimat, lawatan remaja ke perkampungan Orang Asli serta pelbagai aktiviti perpaduan masyarakat.
Beliau turut berkongsi bahawa sepanjang Ramadan, Masjid Al-Mukhlisin menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari kepada kira-kira 400 jemaah, sekali gus menjadikan masjid itu sebagai pusat komuniti yang aktif dan terbuka kepada masyarakat setempat.
Ahmad Nazri berharap Masjid Al-Mukhlisin terus menjadi contoh kepada masjid lain di Wilayah Persekutuan serta mampu melahirkan masyarakat yang lebih dekat dengan institusi masjid.
#IftarPerdana #Ramadan2026 #MasjidAlMukhlisin #AlamDamai #SantunanRamadan #AsnafPrihatin #PerpaduanMalaysia #MasjidAktif #KomunitiCheras #BeritaAAC