KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari menyambut baik perkembangan berkaitan rayuan bekas pemimpin parti untuk kembali menyertai UMNO, dan menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah memperkukuh perpaduan dalaman.
Menurutnya, keterbukaan kepimpinan parti dalam menerima semula pemimpin dan ahli yang pernah keluar menunjukkan semangat keluarga besar UMNO yang perlu dihargai.
Beliau berkata, penyertaan semula bekas pemimpin berkenaan mampu memberi nilai tambah kepada parti, khususnya dari segi pengalaman dan peranan sebagai pemimpin pelapis.
“Saya secara peribadi sangat gembira dengan perkembangan ini. Ia bertepatan dengan hasrat Presiden untuk mengalu-alukan ahli yang pernah keluar kembali ke pangkuan parti,” katanya.
Rosni turut menyifatkan kehadiran semula tokoh berkenaan sebagai perkembangan yang boleh mengukuhkan lagi kekuatan UMNO dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Dalam pada itu, beliau berpendapat tidak wajar meletakkan syarat tertentu terhadap mana-mana permohonan rayuan untuk kembali ke parti.
“Saya tidak setuju jika ada pihak yang mahu meletakkan syarat, termasuk berkaitan kerjasama politik. Yang penting ialah perpaduan dan kekuatan parti,” jelasnya.
Menurut Rosni, landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memerlukan pendekatan yang realistik dan berhemah.
“Kita perlu menerima hakikat keadaan semasa. Fokus utama adalah kestabilan kerajaan dan pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ahli parti perlu mengetepikan perbezaan pandangan serta mengelakkan agenda peribadi yang boleh mengganggu keharmonian dalaman.
“Jika kita berfikiran luas dan mengutamakan kepentingan parti, kita akan lebih mudah memahami hala tuju yang digariskan kepimpinan,” ujarnya.
Rosni turut menyeru semua pihak agar memberi sokongan kepada usaha memperkukuh kerajaan demi kepentingan negara.
Beliau pada masa sama mengulangi sokongan terhadap gagasan “Rumah Bangsa” yang menekankan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan ahli UMNO.
Umno dilaporkan menerima beberapa lagi permohonan daripada bekas ahli untuk kembali menyertai parti, termasuk bekas naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Ahli Parlimen Sembrong itu antara yang mengemukakan permohonan, selain Khairy yang sebelum ini dilaporkan menghantar surat rayuan untuk kembali ke dalam parti.