PETALING JAYA, 17 Mac 2026 – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencipta sejarah baharu apabila mengumumkan agihan dividen berjumlah RM21,002,941 bagi tahun kewangan 2024, sekali gus menjadi yang tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1972.
Agihan dividen tersebut melibatkan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) sebagai pelabur utama, yang seterusnya memberi manfaat kepada rangkaian 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara serta lebih 400,000 ahli peladang.
Pengumuman bersejarah itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, dalam Majlis Penyerahan Dividen PPN dan Majlis Iftar NAFAS 2026 yang berlangsung di NAFAS Function Hall, di sini.
Selepas beberapa tahun tanpa agihan dividen kepada pelabur, tahun 2024 menjadi titik kebangkitan bagi NAFAS apabila semua 14 PPN akhirnya menerima pulangan pelaburan masing-masing.
Pencapaian ini dilihat sebagai hasil kejayaan Pelan Reformasi NAFAS 2.0 yang berjaya memulihkan prestasi organisasi serta memperkukuh kedudukan kewangan, sekali gus membolehkan manfaat dikembalikan kepada komuniti peladang.
Menurut Mohamad Sabu, pelaksanaan agihan dividen tersebut turut dipercepatkan melalui perintah khas bagi memastikan kebajikan ahli peladang terus terpelihara, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Melalui perintah khas yang diperuntukkan kepada Menteri, agihan keuntungan ini dapat dilaksanakan lebih awal. Saya berpendirian bahawa obligasi sosial terhadap lebih 400,000 anggota peladang tidak wajar terjejas akibat penggantungan sebelum ini,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan simbolik cek dividen kepada wakil PPN serta dihadiri kepimpinan industri pertanian dan wakil agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Selain itu, NAFAS turut menyantuni golongan memerlukan dengan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), bersempena bulan Ramadan.
Program diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama wakil PPN, agensi berkaitan serta warga NAFAS dalam suasana penuh muafakat.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi peranan NAFAS sebagai institusi penting dalam ekosistem peladang negara, selari dengan usaha kerajaan untuk memacu kemampanan sektor pertanian dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti peladang di seluruh Malaysia.

#NAFAS #PeladangMalaysia #Dividen2024 #EkonomiPertanian #MalaysiaMADANI #AgroMalaysia #ReformasiNAFAS #KeterjaminanMakanan #BantuanRakyat #BeritaSemasa