KUALA LUMPUR, 5 Januari 2022 – Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (PRORAKYAT) yang menerima banyak aduan daripada Pencarum-Pencarum KWSP melalui talian dan media sosial mereka hari ini mengadakan satu Sidang Media Khas bagi mendesak kerajaan untuk meluluskan tuntutan Pencarum-Pencarum KWSP.
Desakan itu adalah seperti berikut:
- Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia mengakui KWSP adalah simpanan hari tua untuk masa depan namun tuntutan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 “ONE OFF” adalah keperluan terdesak sebagai solusi jangka pendek supaya rakyat tidak terputus wang tunai ketika pandemik dan bencana alam baru-baru ini.
- Ada dikalangan Pencarum ketika ini mempunyai tunggakan pinjaman bank yang perlu diselesaikan. Tidak kurang juga yang hilang pekerjaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan baru memulakan kerja serta memerlukan sumber kewangan. Ada juga yang mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan selepas kehilangan pekerjaan. Pinjaman daripada Tekun & Bank bukanlah jalan terbaik diketika ini.
- Pengeluaran KWSP terbukti akan menggalakkan proses pemulihan ekonomi. Ini kerana, pemulihan aliran wang akan berlaku (melalui pembelian barang keperluan, pembayaran hutang, pembayaran bil-bil tertunggak, perbelanjaan untuk anak-anak sekolah dan lain lain).