Oleh: Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia
Wira PUTRA terpanggil untuk tampil berkenaan isu ini kerana prinsip yang PUTRA bawa jelas iaitu perjuangan kepimpinan negara yang bersih dan bermoral. Kita sedari sejak kepimpinan Dato Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM banyak kepincangan dan pertikaian seperti orang kena tuduh sebagai pelaku rasuah yang berjaya lolos daripada SPRM, wang rampasan jutaan ringgit yang hilang dari bilik simpanan bahan bukti dan lain-lain. Namun, kenyataan yang dibuat hari ini bukanlah ingin menuduh sesiapa termasuk KP SPRM, cuma selaras dengan apa yang kami juangkan sebagai generasi muda yang mahukan Malaysia diterajui pemimpin yang dilihat bersih, bermoral
dan berintegriti tinggi kami ke depan menyuarakan kegelisahan berhubung isu ini.
Pada masyarakat umum mengetahui dan bergantung harap sebelum ini pada SPRM bagi membantu dan menyelesaikan dengan telus serta berintegriti apa jua kes rasuah yang berlaku sama ada melibatkan individu berprofil tinggi atau orang kebanyakkan. Namun apabila pendedahan demi pendedahan termasuk dengan maklum
balas pihak KP dan Pengerusi Lembaga Penasihat sendiri tidak memuaskan dan
menimbulkan keraguan, maka tindakan seterusnya, mereka perlu beri penjelasan
dengan jelas beserta segala bukti yang kukuh bahawa segala bentuk transaksi dilakukan sepanjang beliau berkhidmat sebagai penjawat awam menepati segala pekeliling dan peraturan-peraturan terhadap penjawat awam agar kredibiliti dan reputasi peribadi dan SPRM dapat dibersihkan.
Sehubungan dengan penjelasan melalui kenyataan media Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang tidak memuaskan,
iaitu sebagai sebuah badan profesional yang sepatutnya paling berintegriti dan paling
transparen, Wira PUTRA mengisytihar rasa hilang percaya terhadap SPRM selagi ianya tidak dibersihkan dan dipulihkan integritinya. Alasan yang dimaklumkan bahawa adiknya menggunakan nama KP untuk membeli saham sangat tidak kukuh jika dijelaskan begitu sahaja, kerana beliau pada ketika itu juga sudah berpangkat tinggi di dalam SPRM. Banyak peraturan dan undang-undang sebagai penjawat awam menjadi tanda tanya, adakah beliau benar-benar mengikuti setiap peraturan tersebut? Adalah tak masuk akal dalam tempoh Dato Azam sedang berkhidmat sebagai penjawat awam dengan pengetahuan dan pengalamannya, pasti tidak semudah itu melakukan kesilapan
yang boleh mencemar nama baiknya dan menggugat integriti SPRM.
Apa yang boleh diperhatikan, seperti yang telah didedahkan dan ditularkan di media sosial, berhubung seorang pegawai kerajaan dalam soal pemilikan dan pengisytiharan harta dalam pekeliling perkhidmatan 3 tahun 2002, perkara kedua jelas menyebut syer, saham, debendur, bon atau sekuriti lain hendaklah diisytihar kepada kerajaan. Begitu juga untuk membuka akaun sekuriti seperti dalam seksyen 25 SECURITIES INDUSTRY (CENTRAL DEPOSITORIES) ACT 1991 satu-satu akaun mestilah dibuka menggunakan nama benefisiari atau pemilik berkepentingan dan tidak boleh bagi pihak orang lain melainkan dibenarkan oleh pemiliknya.
Persoalan mula timbul dan membuat orang awam mula meragui apabila Dato
Azam sendiri mempunyai akaun untuk membeli saham, adakah beliau telah membuat pengisytiharan terhadap pembelian saham terbabit sepanjang tempoh beliau berkhidmat, kepada Ketua Jabatan SPRM sebelum beliau dilantik Ketua Pesuruhjaya? Semua penjawat awam seperti dalam pekelilingnya perlu kemaskini pengisytiharan segala aset dan harta setiap 5 tahun sekali, dan yang paling mustahak adalah perlu dinyatakan dengan jelas sumber dana yang digunakan untuk memiliki harta terbabit.
Sama ada sumber datang dari pinjaman/loan (beliau kena nyatakan semua rate,
instalment, interest, bank mana, total amount loan, tempoh pinjaman) ataupun saham dibeli guna dana sendiri (harta pusaka ke, perwarisan ke, simpanan sendiri ke, keluar duit KWSP ke, Tabung Haji ke) semua ini perlu dinyatakan dengan jelas semasa pengisytiharan tersebut. Jika benar saham tersebut milik adiknya, perlu dinyatakan dengan jelas mengapa perlu guna nama Dato Azam Baki, melainkan ada konflik kepentingan beliau terhadap saham terbabit.
Kecuali dibuktikan dalam masa kurang 24 jam wang itu sudah di pindahkan ke akaun milik adiknya. Dan ini perlu di buktikan. Jika lebih dari masa itu, Dato Azam Baki tetap bertanggungjawab kepada kewangan saham tersebut.
Jika mengikut undang-undang securities commission, beliau mungkin telah menepati syarat-syarat tersebut, tetapi persoalan yang lebih kritikal perlu diperincikan adalah beliau selaku penjawat awam ada lapisan lain yang perlu dilihat dan diambil kira.
Unit Integriti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam perlu buat siasatan dan bukan tunggu ada aduan rasmi baru nak bertindak. Pendedahan-pendedahan yang mencemar nama baik kerajaan dan negara hingga menjadi persepsi buruk dan buah mulut ke peringkat antarabangsa wajib disegerakan tindakannya. Jangan ada double standard. Kalau penjawat awam biasa bukan main disiasat punca duit beli aset, habis bawah kain semua diselak. Takkan hal sepenting ini yang melibatkan individu berjawatan penting di dalam
negara Unit Integriti senyap sahaja atau adakah sebab dia KP SPRM?
Justeru, Wira PUTRA mendesak agar Ketua Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ambil tindakan segera dengan merehatkan Dato Azam Baki daripada tugas dan jawatannya supaya satu siasatan menyeluruh yang bebas dan telus boleh di lakukan. Sekiranya beliau didapati bersih dan tidak ada salah laku yang boleh dikaitkan dengannya, maka beliau boleh dibenarkan kembali berkhidmat dan jika didapati ada salah laku, tindakan sewajarnya wajib dikenakan mengikut undang-undang semasa.
Wira PUTRA juga ingin menggesa agar dibubar atau dirombak semula Lembaga
Penasihat Pencegahan Rasuah serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM dan mencadangkan untuk menyusun semula ahli jawatankuasanya dan turut diisi dari kalangan profesional yang tegas seperti mantan-mantan Hakim Mahkamah
Persekutuan dan Rayuan yang pastinya juga di lihat bersih dan bermoral.
Alhamdulillah Pergerakan Wira PUTRA telahpun membuat laporan Polis terhadap
dakwaan berkaitan isu ini, dan berharap agar tindakan segera dapat diambil bagi
membersih dan memulih semula kredibiliti dan reputasi SPRM di peringkat nasional dan lebih-lebih lagi diperingkat antarabangsa.
Wira PUTRA juga bersetuju untuk menghantar memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong, untuk mohon ampun perkenan baginda untuk merehatkan Dato Azam Baki dan membubar 2 jawatankuasa di dalam SPRM iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah SPRM sekiranya kabinet dilihat membisu seribu bahasa dan tiada tindakan-tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa yang terlibat.
Wira PUTRA ingin menegaskan bahawa Wira PUTRA tidak menuduh sesiapa termasuk KP SPRM, cuma bertegas mahu siasatan bebas dan telus dilaksanakan bagi
memastikan nama baik SPRM sebagai penguatkuasa anti rasuah negara ini bebas dan pulih kembali integriti dan reputasinya dari segala dakwaan yang telah disebar ke seluruh negara.