PETALING JAYA: Perjalanan Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari ke Moscow bermula dengan saringan melibatkan peserta dari beratus negara sebelum beliau disenaraikan dalam kelompok 30 negara untuk mara ke peringkat akhir anugerah Leader of Public Diplomacy.
Rosni berkata, selepas terpilih dalam kelompok 30 negara itu, beliau ditawarkan ke Moscow bagi menyertai saringan akhir dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur, World Public Assembly.
Katanya, lawatan berkenaan merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Moscow, malah beliau berpeluang menginap di Hotel National yang menghadap Kremlin dan Red Square.
“Apabila dapat masuk ke peringkat akhir, saya rasa sudah satu rezeki dapat sampai ke Moscow. Saya kata, saya cuba buat yang terbaik. Kalau dapat, alhamdulillah. Kalau tidak pun, saya sudah bersyukur kerana dapat sampai ke Moscow.
“Apabila nama saya dipanggil sebagai pemenang kategori saya, alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Perasaan itu Tuhan saja yang tahu, nak menangis atau ketawa,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.
Rosni berkata, kebimbangannya mengenai keselamatan di Moscow sebelum berangkat ke sana turut berubah selepas mendapati keadaan di bandar berkenaan terkawal dan selamat.
“Apa yang paling saya tidak jangka ialah orang di sana sangat baik dan hospitalitinya juga sangat baik. Tanggapan awal saya bahawa mereka mungkin kasar atau tidak mesra ternyata meleset.
“Mereka melayan kami dengan sangat baik,” katanya.
Menurut Rosni, kejayaan itu bukan hasil usaha bersendirian, sebaliknya turut berkait rapat dengan usaha pasukannya menghasilkan program BOLD – Building Opportunities Through Leadership and Digital Entrepreneurship Skill untuk pelajar Tingkatan Enam.
Beliau berkata, idea itu tercetus selepas mendapati terdapat pelbagai program untuk pelajar, belia dan wanita, namun pelajar Tingkatan Enam dilihat mempunyai ruang yang masih boleh diperkasakan.
“Saya dapati ada program untuk pelajar, ada program untuk belia dan wanita, tetapi pelajar Tingkatan Enam seolah-olah ada kelompongan.
“Jadi saya bersama pasukan menghasilkan program BOLD untuk memberi pendedahan kepada mereka dalam aspek komunikasi, kepimpinan dan keusahawanan digital,” katanya.
Rosni berkata, program berkenaan kemudiannya dibawa menerusi jelajah ke sekolah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar yang menunjukkan minat untuk mempelajari perkara baharu.
Katanya, pelajar turut dibimbing mengenai keusahawanan digital, termasuk menjadi affiliate entrepreneur tanpa memerlukan modal permulaan.
“Kita mahu mereka menjadi komunikator yang baik, mempunyai kemahiran kepimpinan dan selepas tamat STPM, sementara menunggu keputusan, mereka boleh menceburi keusahawanan digital.
“Kita ajar mereka bagaimana menjadi affiliate entrepreneur tanpa perlu mengeluarkan modal,” katanya.
Rosni berkata, pengiktirafan diterimanya di Moscow turut memberi ruang untuk beliau membawa isu pemerkasaan wanita Malaysia ke pentas antarabangsa, termasuk menerusi perkongsian mengenai Women Empowerment in Politics in Malaysia.
Katanya, sudah tiba masanya kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat memberi lebih banyak ruang kepada wanita berdasarkan sumbangan serta gerak kerja mereka.
“Jangan anggap kalau kerusi diberikan kepada wanita, takut kalah. Saya rasa itu tanggapan yang sangat pesimis dan ortodoks, yang sudah tidak boleh dipakai.
“Kalau kita lihat dari segi gerak kerja, wanita antara yang paling ke hadapan,” katanya.