KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari, melakar pencapaian di peringkat antarabangsa selepas memenangi Anugerah “Leader of Public Diplomacy” dalam kategori Laureates of Cultural Diplomacy – Volunteering pada World Public Summit di Moscow.

Rosni berkata, beliau membentangkan program pemerkasaan golongan muda dan wanita di Malaysia menerusi BOLD (Building Opportunity through Leadership and Digital Entrepreneurship Skill) pada persidangan berkenaan.

Menurutnya, program itu memberi tumpuan kepada usaha membuka peluang kepada golongan muda dan wanita menerusi pembangunan kepimpinan serta kemahiran keusahawanan digital.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy; Tan Sri Noorul Ainur, Pengerusi DPTWP dan Datuk Sabariah, Exco Kerajaan Negeri Pahang atas kepercayaan yang diberikan.
“Kemenangan ini adalah kemenangan bersama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Rosni berkata pencapaian itu lebih bermakna selepas penyertaan beliau dipilih daripada ratusan permohonan dari seluruh dunia yang melalui beberapa pusingan saringan.
“Daripada ratusan permohonan dari seluruh dunia, melalui pelbagai pusingan saringan, akhirnya kemenangan ini milik kita bersama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan mendoakan kejayaannya.
“Terima kasih juga atas doa anda semua,” katanya sambil mengakhiri kenyataan dengan slogan “Pahang First!”.