
BANDAR TUN RAZAK – Rahsia menghafal 30 juzuk al-Quran bukan semata-mata kerana mempunyai daya ingatan luar biasa, sebaliknya ia terletak pada disiplin tinggi mengulang hafalan setiap hari tanpa gagal.
Itulah pegangan teguh seorang pelajar, Muhammad Darwisy Khairuddin, yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran dalam tempoh hampir empat tahun sehingga melayakkannya menerima Anugerah Perintis Huffaz Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab FELDA.
Bagi pelajar Tingkatan 4 dari MRSM Trolak itu, kejayaan luar biasa yang diraihnya bukanlah hasil usaha semalaman, tetapi lahir daripada rutin yang konsisten sejak berada di Tingkatan 1.
Walaupun perlu membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran akademik dan hafazan, beliau tetap berpegang kepada prinsip istiqamah sebagai kunci utama.
”Menghafal Tak Susah, Yang Mencabar Adalah Istiqamah”
Menurut Darwisy, ramai yang beranggapan bahawa menghafal al-Quran adalah sesuatu yang sukar. Bagaimanapun, pengalaman yang dilaluinya membuktikan perkara paling mencabar sebenarnya ialah mengekalkan disiplin untuk mengulang hafalan tersebut setiap hari.
”Sebenarnya menghafal al-Quran ini tak susah pun. Yang penting kena konsisten. Saya ambil masa lebih kurang empat tahun, bermula sejak Tingkatan 1,” katanya ketika ditemui portal AATV sempena Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Pahang hari ini.
Majlis penyampaian anugerah berprestij itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Kongsi Rutin Mudah Tapi Berkesan
Bercerita lanjut mengenai strateginya, Darwisy menjelaskan bahawa rutin hariannya cukup ringkas tetapi impaknya sangat besar. Beliau hanya memperuntukkan masa selepas solat Maghrib untuk menghafal ayat-ayat baharu sebelum memperdengarkannya kepada guru pada keesokan pagi.
”Saya menghafal waktu Maghrib. Esok pagi saya tasmi’ dengan ustaz di kelas, kemudian saya ulang semula hafalan itu setiap hari,” jelasnya lagi.
Mengimbau detik manis ketika namanya diumumkan sebagai penerima anugerah, Darwisy mengakui tidak pernah menyangka usaha kecil yang dilakukan secara berterusan itu akhirnya membawa pengiktirafan di pentas sebesar itu.
”Saya rasa sangat bersyukur sebab dapat khatam al-Quran. Sebelum ini saya tak pernah menerima anugerah sebesar ini,” ujarnya dalam nada teruja.
Sasar Ujian Syahadah & Kecemerlangan SPM
Walaupun sudah berjaya menggenggam gelaran hafiz 30 juzuk, Darwisy menyifatkan pencapaiannya itu bukanlah satu penamat, sebaliknya satu permulaan baharu.
Kini, beliau sedang memasang impian besar untuk menduduki ujian Syahadah menjelang Tingkatan 5 nanti dengan bimbingan para gurunya, di samping membuat persediaan awal bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
”Sekarang saya dah mula belajar sedikit demi sedikit untuk SPM, terutama silibus Tingkatan 4. Insya-Allah tahun depan saya akan ambil Syahadah dan pada masa sama membuat persediaan terbaik untuk peperiksaan,” katanya menutup bicara.
Kisah kejayaan Darwisy ini menjadi bukti jelas bahawa kunci sebenar menghafal al-Quran bukanlah pada kehebatan semula jadi, tetapi pada kesungguhan untuk terus mengulang, memperbaiki, dan kekal istiqamah setiap hari. — AATV
#AATV #KisahInspirasi #TahfizMalaysia #MRSMUlulAlbab #TipHafazQuran