
BANDAR TUN RAZAK – Gelaran juara Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF) menjadi buruan utama Felda Kemahang 3, Gua Musang, Kelantan apabila sekali lagi berjaya melangkah ke peringkat final buat kali kelima.
Pencapaian konsisten sejak beberapa tahun lalu itu membuktikan bahawa komuniti rancangan tersebut bukanlah calang-calang pencabar dalam merebut anugerah prestij yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan berjumlah RM1 juta.
Pengurus Felda Kemasul 3, Mohd Azizan Nawi berkata, kejayaan melangkah ke peringkat akhir secara berulang kali ini adalah bukti kekuatan komuniti yang sentiasa bersatu hati dalam memastikan pembangunan Felda berjalan secara menyeluruh.
Menurut beliau, kerjasama erat tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk keceriaan kawasan, pengukuhan kerohanian, serta peningkatan hasil peneroka.
“Budaya kerja berpasukan yang diamalkan sejak sekian lama menjadi asas kepada kestabilan dan kejayaan berterusan Felda Kemahang 3 dalam setiap penyertaan,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Pahang, hari ini.
Persaingan Sengit 11 Felda Terbaik
Felda Kemahang 3 bakal berdepan saingan sengit daripada 10 lagi rancangan FELDA yang turut tersenarai dalam peringkat akhir untuk membawa pulang piala pusingan, plak, dan sijil penghargaan.
Anugerah berprestij itu dijadual akan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Sambutan Hari Peneroka dan Sambutan 70 Tahun FELDA pada Selasa.
”Harap Kali Ini Jadi Kenyataan”
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Kemahang 3, Mohd Azmi Jali menyifatkan peluang kali kelima ini sebagai detik terbaik dan ‘masanya’ untuk mereka membawa pulang gelaran juara yang sekian lama dinantikan.
Jelasnya, pengalaman beraksi di pentas akhir sebelum ini telah memberikan kelebihan besar kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan serta memperkukuh persediaan.
“Harapan saya sebagai ketua peneroka, mahu menang esok (Selasa). Sebab sudah lima kali masuk final. Harap kali ini jadi kenyataan,” luahnya penuh optimis.
Untuk rekod, Felda Kemahang 3 yang ditubuhkan sejak tahun 1980 kini mempunyai seramai 452 peneroka. Mereka terus komited mengekalkan semangat gotong-royong dan perpaduan sebagai tunjang utama kehidupan komuniti.
Adakah penantian sekian lama Felda Kemahang 3 akan berakhir dengan sorakan kejuaraan esok? Sama-sama kita nantikan keputusan penuh AKRF 2026. — AATV
#AKRF2026 #FeldaKemahang3 #HariPeneroka70Tahun #GuaMusangKini #MisiRM1Juta