
KUALA LUMPUR, 14 Julai 2026 – Gergasi teknologi perubatan (MedTech) global dari India, Meril, secara rasmi melancarkan Meril Academy Kuala Lumpur hari ini. Ia merupakan akademi pertama syarikat berkenaan di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi rangkaian pendidikan globalnya dalam memajukan sektor penjagaan kesihatan moden.
Penubuhan akademi ini bersandarkan kepada keyakinan bahawa inovasi dan pendidikan perlu bergerak seiring demi meningkatkan standard rawatan dan keselamatan pesakit.
Direka khas sebagai platform global untuk pendidikan klinikal, Meril Academy Kuala Lumpur bakal menghimpunkan para profesional kesihatan tempatan dan serantau. Mereka akan didedahkan dengan program pendidikan kendalian pakar, latihan berasaskan simulasi, bengkel praktikal, serta laluan pembelajaran yang dirangka secara teliti untuk menggalakkan kerjasama klinikal.


Malaysia dipilih sebagai lokasi strategik disebabkan oleh ekosistem penjagaan kesihatan negara yang kukuh, selain peranannya yang dinamik sebagai hab serantau bagi inovasi dan pendidikan perubatan di Asia Tenggara (ASEAN).

Presiden Hal Ehwal Kerajaan Global Meril, Dr. Vibhav Garg berkata, inovasi memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan teknologi perubatan canggih, manakala pendidikan bertindak memperkasakan golongan profesional untuk mengendalikannya dengan yakin.
”Meril Academy Kuala Lumpur mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan platform pembelajaran bertaraf dunia yang memupuk pendidikan berterusan, kerjasama klinikal dan pembangunan kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai rekod, bagi Tahun Kewangan 2025–26, Meril Academies telah berjaya menganjurkan lebih 150 program pendidikan dan bengkel yang melibatkan lebih 6,000 profesional kesihatan di seluruh dunia.
Dengan pelancaran terbaharu ini, Meril kini memiliki rangkaian 11 akademi di seluruh dunia termasuk di India, Jerman, Sepanyol, Brazil, Türkiye, Rusia, Amerika Syarikat, dan Malaysia. Langkah ini membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam memperluas akses kepada pendidikan perubatan bertaraf dunia.
#AATV #MerilAcademyKL #MedTechMalaysia #InovasiPerubatan #KesihatanASEAN