KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan kejayaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan wajar diteruskan sehingga PRN Melaka serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari, berkata kerjasama itu perlu diasaskan kepada keikhlasan kedua-dua pihak serta matlamat bersama untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
“Bagi saya, kita tidak boleh lagi bersikap mementingkan parti sendiri. Selagi mempunyai prinsip perjuangan yang sama, kita perlu bersikap terbuka untuk bekerjasama.
“Jika BN dan PN bertanding secara berasingan, undi akan berpecah dan akhirnya memberi kelebihan kepada pihak lain,” katanya dalam satu temu bual.
Beliau berkata kejayaan BN di Johor dan Negeri Sembilan turut dipengaruhi kesiapsiagaan jentera parti yang bekerja lebih awal dan konsisten mendekati rakyat.
Menurutnya, suasana kempen di Johor jauh berbeza berbanding Negeri Sembilan kerana jentera BN di Johor sudah lama bergerak di peringkat akar umbi, manakala pengundi di Negeri Sembilan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” sebelum membuat keputusan.
Rosni turut menyifatkan “gelombang biru” yang bermula di Johor dan diteruskan di Negeri Sembilan sebagai petunjuk bahawa rakyat kembali memberikan keyakinan kepada BN selepas menilai prestasi kerajaan lain.
Beliau percaya kestabilan politik menjadi antara faktor utama yang diharapkan rakyat ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, walaupun kerajaan sering memaparkan pertumbuhan ekonomi yang positif, rakyat masih belum merasai manfaatnya, sekali gus menjadi antara faktor yang mempengaruhi corak pengundian dalam PRN Negeri Sembilan.
Mengulas kecenderungan pengundi muda, Rosni berkata Generasi Z kini lebih matang dalam membuat penilaian selepas berpeluang membandingkan prestasi semua pihak.
“Mereka mahukan kestabilan, peluang pekerjaan dan jaminan masa depan. Sebab itu saya melihat sokongan terhadap gelombang biru semakin meningkat,” katanya.