KUALA LUMPUR: Wanita UMNO berharap lebih ramai calon wanita diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) susulan kejayaan calon wanita dalam PRN Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari, berkata kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, S Leza Md Yasin yang mewakili UMNO membuktikan calon wanita mampu meraih kepercayaan rakyat apabila diberikan peluang.
Beliau berkata kejayaan itu bukan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerja berterusan di peringkat akar umbi sejak sekian lama.
“Apabila beliau diumumkan sebagai calon, masyarakat sudah mengenali beliau kerana sentiasa turun padang dan bekerja di kawasan.
“Itulah kekuatan calon wanita. Apabila diberikan amanah, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Rosni berkata dalam PRN Negeri Sembilan, UMNO hanya bertanding di 16 daripada 36 kerusi, namun satu kerusi diperuntukkan kepada calon wanita dan berjaya dimenangi.
Sehubungan itu, beliau berharap kepimpinan parti dapat mempertimbangkan penyertaan lebih ramai wanita sekiranya UMNO bertanding lebih banyak kerusi pada masa depan.
“Jika lebih banyak kerusi ditandingi, kami berharap lebih banyak peluang diberikan kepada wanita kerana mereka telah membuktikan kemampuan apabila diberi kepercayaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera Wanita UMNO yang disifatkan bekerja tanpa mengenal penat sepanjang kempen dengan turun ke setiap pusat daerah mengundi (PDM) dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu memastikan kemenangan calon Barisan Nasional.