KUALA LUMPUR – Malaysia disifatkan masih terperangkap dalam amalan politik lapuk seolah-olah berada di era abad ke-18, di mana akses kepada kuasa dan pentadbiran didakwa boleh ‘dibeli’ oleh golongan berkepentingan tanpa undang-undang yang telus.
Mengulas perkara tersebut, penganalisis dan pemerhati politik, Mdm Rose menegaskan bahawa negara perlu segera menggubal Akta Pendanaan Politik dan Pelobi sebelum membincangkan undang-undang berkaitan sabotaj ekonomi yang menyasarkan golongan elit serta konglomerat.
Menurut beliau, ketiadaan akta tersebut membuka ruang seluas-luasnya kepada pihak pemodal untuk mempengaruhi hala tuju dasar, pentadbiran, serta undang-undang negara demi kepentingan perniagaan mereka sendiri.
Mdm Rose turut mempersoalkan komitmen kerajaan hari ini yang sebelum ini lantang memperjuangkan reformasi tatakelola, namun gagal meluluskan rang undang-undang berkaitan meskipun telah mentadbir dan meluluskan pelbagai akta lain.
Beliau membangkitkan lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ke Kanada sebelum ini yang memiliki model undang-undang pelobi terbaik dunia, namun sehingga kini tiada tindakan konkrit dibawa pulang ke tanah air.
Tegasnya, pemusatan kekayaan kini semakin melebar akibat percambahan sistem kapitalisme yang disokong kemajuan teknologi, lantas mewujudkan jurang pendapatan yang ekstrem antara rakyat marhaen dan entiti korporat gergasi.
Situasi tersebut menyebabkan majoriti rakyat biasa kehilangan daya beli, termasuk ketidakmampuan memiliki kediaman asas bernilai RM300,000, manakala segelintir taikun terus membolot keuntungan luar biasa melalui akses eksklusif kepada pembuat dasar.
Beliau turut mengkritik polisi kerajaan seperti pewujudan Zon Ekonomi Eksklusif yang didakwa memberi pelepasan cukai istimewa kepada golongan kaya, sedangkan rakyat biasa terus dibebani kadar cukai antara 23 hingga 24 peratus.
”Ahli politik hanya meminjam mandat rakyat melalui undi, tetapi akhirnya menaungi kehendak pihak yang membiayai mereka,” jelas Mdm Rose merujuk kepada bahaya politik naungan tanpa kawal selia undang-undang penaja dana.
Beliau mengambil contoh ketelusan di Amerika Syarikat yang mendedahkan hubungan antara penderma dana politik dengan keistimewaan dasar import serta pengecualian cukai yang diterima oleh pemodal terbabit.
Sehubungan itu, Mdm Rose mendesak penggubalan akta pendanaan politik dan pelobi direalisasikan segera bagi membolehkan rakyat memantau pergerakan dana, mengenal pasti pihak berkepentingan, dan memastikan dasar ekonomi negara benar-benar memihak kepada masyarakat terbanyak.
#BeritaAAC #PendanaanPolitik #AktaPelobi #JurangEkonomi #PolitikMalaysia