KUALA LUMPUR, 11 September 2026 — Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai ucapan paling berani dan terbaik sepanjang lapan tahun beliau menerajui parti itu, sekali gus memperlihatkan ketokohan beliau sebagai bakal Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr. Armand Azha Abu Hanifah berkata, intipati ucapan tersebut melambangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berada pada landasan tepat sebagai parti yang menanti giliran untuk mentadbir kerajaan (the next government in waiting).
Menurut beliau, amanat yang disampaikan kali ini tidak hanya terhad kepada kepentingan dalaman parti mahupun kerjasama politik semasa, sebaliknya menzahirkan visi besar tentang hala tuju negara sekiranya mandat penuh kembali diserahkan kepada BN.
Jelas Armand, pembentangan lapan garis utama oleh Ahmad Zahid merupakan satu rangka kerja yang amat jelas bagi membuktikan kesiapsiagaan parti menggalas amanah rakyat untuk bangkit semula sebagai kuasa politik yang dominan.
Beliau turut menggambarkan fasa sukar yang dilalui UMNO sebelum ini sebagai sebuah kapal yang telah berjaya mengharungi badai serta lautan bergelora, dan kini sedang belayar tenang menuju ke Putrajaya.
Tegasnya lagi, ketegasan dan keberanian yang dipamerkan Presiden UMNO membuktikan keupayaan kepimpinan beliau dalam memacu parti mendepani cabaran politik dan merealisasikan aspirasi rakyat pada PRU-16 akan datang.
#BeritaAAC $ZahidHamidi #ArmandAzha #UMNOBangkit #PRU16