KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr. Armand Azha Abu Hanifah mempersoalkan kewibawaan dan ketelusan pihak berkuasa susulan penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Lembaga Pengampunan.
Beliau meluahkan rasa hairan apabila daripada lebih 60 nama yang dibawa ke lembaga tersebut, hanya permohonan Najib seorang sahaja yang dilaporkan ditangguhkan, sekali gus mengundang tanda tanya besar kepada akar umbi parti.
”Saya nak tanya satu soalan, apa yang mereka takut sangat kepada Datuk Seri Najib? Apa yang mereka risau tentang beliau?” tegasnya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Armand turut membangkitkan isu layanan dua darjat (double standard) dalam pentadbiran negara dengan membandingkan situasi tersebut dengan nasib Perdana Menteri semasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, jika Anwar yang dahulunya bergelar seorang banduan boleh diberikan pengampunan diraja penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, prinsip keadilan yang sama sewajarnya diberikan hak pertimbangan kepada Najib.
”Kalau Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim—seorang bekas banduan—pernah mendapat pengampunan daripada Agong, kenapa tidak Najib? Jangan amalkan sikap ‘double standard’,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai tindak balas UMNO, beliau menegaskan bahawa parti itu sentiasa matang dan menghormati keluhuran undang-undang serta sistem demokrasi tanpa perlu mengambil tindakan melampau.
Katanya, sejarah membuktikan UMNO tidak pernah memasang papan iklan di lebuh raya untuk mendesak mahkamah, jauh sekali mengadakan demonstrasi jalanan sehingga menterbalikkan kenderaan polis.
Ketika sesi temu bual berlangsung, Armand turut membidas tindakan segelintir pengendali akaun palsu atau ‘cybertrooper’ yang menyerangnya di ruangan komen, sambil mendakwa pihak tertentu seperti J-KOM bertanggungjawab menggerakkan naratif tersebut.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan mesej tegas kepada rakan mahupun lawan politik bahawa kesabaran UMNO ada hadnya dan parti itu sedia berdepan apa jua situasi demi menuntut keadilan.
”Nak berkawan, kawan betul-betul. Nak berlawan, kita berlawan betul-betul. Kita tetap berdoa dan kekal sabar menanti pembelaan buat Datuk Seri Najib,” katanya.
#BeritaAAC #ArmandAzha #KeadilanUntukNajib #DoubleStandard #NajibRazak