KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Alasan sebenar di sebalik penangguhan keputusan permohonan pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, terus mencetuskan tanda tanya pelbagai pihak.
Ketua UMNO Bahagian Selayang merangkap peguam, Dato’ Hasnal Rezua Merican menyatakan beliau sendiri tidak mengetahui ‘asbab musabab’ mengapa permohonan rayuan tersebut terpaksa ditangguhkan.
Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri seolah-olah memberi gambaran bahawa penangguhan itu datang daripada kehendak Yang di-Pertuan Agong sendiri.
Sehubungan itu, Hasnal menegaskan isu berkenaan perlu diperjelaskan secara telus kepada rakyat sama ada Seri Paduka Baginda yang mengusulkan penangguhan tersebut atau terdapat campur tangan pihak lain.
”Saya rasa perkara ini perlu diperjelaskan kepada rakyat, adakah Baginda sendiri yang mengusulkan penangguhan itu dibuat atau ada pihak-pihak tertentu yang mengusulkannya dalam sidang Lembaga Pengampunan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau meluahkan rasa kecewa kerana ramai pihak menaruh harapan tinggi untuk mendengar perkhabaran positif berhubung keputusan rayuan pengampunan tersebut.
Tegasnya, rakyat boleh menerima penangguhan itu dengan lapang dada sekiranya ia merupakan kehendak mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah bidang kuasa prerogatif Baginda.
Namun, Hasnal menegaskan sekiranya terdapat ‘tangan-tangan kotor’ pihak tertentu yang cuba mempermainkan proses pengampunan ini, identiti dan motif sebenar pihak terbabit wajar didedahkan kepada umum.
Menyentuh mengenai persidangan Lembaga Pengampunan, beliau menjelaskan bahawa tiada jadual tetap yang mengikat tarikh mesyuarat badan berkenaan.
Jelas beliau, Lembaga Pengampunan boleh bersidang pada bila-bila masa sahaja tertakluk sepenuhnya kepada perkenan dan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Malah, Seri Paduka Baginda juga berhak meminta Jabatan Peguam Negara mengangkat sebarang fail rayuan untuk dipertimbangkan mengikut tarikh yang diperkenankan Baginda.
#NajibRazak #LembagaPengampunan #KeadilanUntukNajib #BeritaAAC #PolitikMalaysia