KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Penangguhan keputusan berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan lagi satu kejutan sebaliknya sudah dijangka sejak awal oleh kepimpinan di peringkat akar umbi.
Ketua UMNO Cawangan Wangsa Sari, Mazlan Abd Latif menegaskan bahawa isu berkaitan nasib bekas Presiden parti itu sentiasa menjadi usul wajib yang dibawa dari peringkat mesyuarat cawangan dan bahagian sehingga ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Malah, menurut beliau, ada usul di peringkat bahagian yang sebelum ini diluluskan secara terus tanpa perlu dibahaskan demi menunjukkan sokongan terhadap Najib.
Bagaimanapun, Mazlan menyifatkan penangguhan demi penangguhan yang berlaku kini memperlihatkan pelbagai ‘permainan silat’ politik dalam kalangan pemimpin di peringkat atasan.
Beliau secara terbuka mempersoalkan kewajaran saf kepimpinan tertinggi yang dilihat masih berterusan ‘menjual’ nama serta sentimen Datuk Seri Najib demi kelangsungan politik parti.
Situasi tersebut disifatkannya sebagai petanda yang amat berbahaya serta mewujudkan suasana tidak sihat dalam kalangan ahli parti sekiranya tiada penyelesaian tuntas diambil segera.
Mazlan memberi amaran bahawa sekiranya kepimpinan gagal menguruskan kemelut ini, perhimpunan parti yang akan datang mungkin berdepan gelombang penolakan yang sukar dibendung.
Beliau tidak menolak kemungkinan perwakilan tidak lagi sekadar membawa usul biasa, sebaliknya bertindak di luar jangkaan akibat rasa tidak puas hati yang semakin menebal.
Mengimbas kembali pendirian ketua-ketua bahagian sebelum ini dengan ungkapan ‘we cross the bridge when we come to it’, Mazlan menegaskan bahawa detik dan waktu tersebut kini sudah tiba untuk dibuktikan.
Justeru, beliau menggesa barisan kepimpinan UMNO agar pandai mencari jalan keluar dan menyelesaikan perkara ini sebelum ahli akar umbi bertindak mempersoalkan keabsahan hala tuju parti secara terbuka.
#BeritaAAC #UMNO #NajibRazak #SuaraAkarUmbi #PolitikMalaysia