KUALA LUMPUR, 11 September 2026 — Ucapan dasar Presiden UMNO hari ini disifatkan membawa metafora serta isyarat yang sangat jelas kepada seluruh kepimpinan dan akar umbi dalam menetapkan hala tuju parti mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Damansara, Amin Shukor berkata, intipati amanat tersebut bukan sahaja memperkukuh kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, malah menegaskan peranan parti itu sebagai ejen semak dan imbang demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, ketegasan Presiden parti yang juga Timbalan Perdana Menteri membuktikan UMNO tidak gentar melontarkan teguran secara terbuka kepada kerajaan sekiranya dasar yang digubal tidak berpihak kepada rakyat dan pengundi.
”Keutamaan kita hari ini adalah rakyat, pengundi dan masyarakat; walaupun kita berada dalam kerajaan, teguran tetap disuarakan secara lantang asalkan pertimbangan itu membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai persiapan PRU16, Amin mendedahkan terdapat kemungkinan berlakunya bentuk kerjasama baharu, lantas menuntut jentera parti bersiap siaga dari sekarang tanpa dipengaruhi emosi.
Jelas beliau, UMNO perlu tampil berbeza dan berani melakukan perubahan menyeluruh agar sentimen penolakan atau kebencian rakyat terhadap parti keramat itu dapat dipulihkan sepenuhnya.
Menyentuh status UMNO sebagai ‘government-in-waiting’, beliau optimis bahawa gabungan usaha Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berupaya meletakkan parti kembali memimpin tampuk pentadbiran negara pada masa hadapan.
Selain itu, beliau turut menarik perhatian terhadap kehadiran pimpinan PAS pada perhimpunan tersebut yang disifatkan sebagai isyarat jelas ke arah pembentukan penyatuan teras Melayu di negara ini.
Amin menegaskan bahawa kestabilan dan kemakmuran kaum lain di Malaysia amat bergantung kepada kekuatan teras Melayu; apabila teras utama ini berpecah, nikmat kesejahteraan sukar dirasai oleh masyarakat majmuk.
”Bila teras orang Melayu itu kembali bersatu dan berpadu, kita akan menjaga hak-hak orang lain, tetapi jika teras itu berpecah-belah, rakyat secara keseluruhannya tidak akan mendapat limpahan kebaikan yang sama,” jelasnya.
Beliau merumuskan bahawa UMNO kini berada di landasan tepat dengan naratif yang kukuh untuk kembali mengepalai penyatuan Melayu serta bersedia sepenuhnya mentadbir negara semula menjelang PRU16.
#BeritaAAC #UMNO #PRU16 #PenyatuanMelayu #PolitikMalaysia