KUALA LUMPUR, 12 September 2026 – Keabsahan Kerajaan Perpaduan kini dipersoalkan susulan pendedahan perjanjian asal kerjasama politik yang didakwa telah kehilangan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr. Armand Azha Abu Hanifah berkata, ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 secara terbuka merungkaikan asas pembentukan kerajaan berkenaan.
Jelas beliau, penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termaktub menerusi perjanjian gabungan ‘en-bloc’ yang melibatkan 82 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan 30 daripada Barisan Nasional (BN).
Kerjasama asas dua gabungan tersebut membolehkan angka majoriti mudah 112 kerusi dicapai sebelum parti-parti politik lain menyatakan sokongan kemudiannya.
Bagaimanapun, Armand Azha mendakwa sokongan itu kini goyah susulan krisis dalaman PH yang membabitkan kehilangan keyakinan tiga ahli parlimennya iaitu Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
”Secara dasarnya, kerajaan yang bersandarkan ‘simple majority’ 112 ini telah kehilangan tiga ahli parlimen dalam Kerajaan Perpaduan. Persoalannya, adakah kerajaan hari ini masih sah atau telah terbubar?” tegas beliau.
Beliau menambah, mengikut perjanjian asas penubuhan kerajaan yang dipertontonkan di Dewan Merdeka, pihak yang kehilangan sokongan ahli parlimen teras adalah daripada kem PH itu sendiri.
Menyentuh spekulasi semasa, Armand Azha menegaskan Ahmad Zahid telah melontarkan cabaran terbuka kepada pucuk pimpinan PH serta Perdana Menteri untuk membuktikan sokongan menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen.
Langkah berkenaan disifatkan sebagai satu-satunya saluran perlembagaan bagi BN dan UMNO membuat ketetapan keluar daripada blok pentadbiran tersebut.
”Kepada puak ‘ceplos’ dan kepimpinan PH, kami cabar anda laksanakan. Kami tunggu anda di Parlimen, buat sekarang!” katanya penuh tegas sambil menyeru penyokong terus meniupkan semangat perjuangan ‘Gelombang Biru’.
#BeritaAAC #ArmandAzha #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia #UndiTidakPercaya