KUALA LUMPUR, 12 September 2026 — Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan kembalinya keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan parti, persis era ketika parti itu menjadi peneraju utama negara.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Sri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kehadiran ribuan perwakilan yang begitu meriah mencerminkan kepercayaan tinggi orang Melayu terhadap nakhoda Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan, ucapan dasar Presiden kali ini membuktikan berlakunya transformasi besar apabila UMNO kini beralih daripada politik sentimen dan persepsi kepada “politik keupayaan” serta berpaksikan prestasi.
Menurutnya, anjakan ini dizahirkan menerusi pengenalan ‘Lima Dinamika’ serta pelancaran gagasan baharu iaitu ‘Agenda Malaysia Biru’ yang merangkumi lapan ikhtiar utama menjelang 100 tahun kemerdekaan negara.
Ahmad Razif menekankan bahawa fokus terhadap pendidikan berasaskan keupayaan adalah ramuan tepat dalam memenuhi tuntutan serta aspirasi generasi baharu hari ini.
”Generasi Y, Alfa dan Beta tidak lagi terikat dengan nostalgia 80 tahun UMNO memimpin, sebaliknya mereka mahu melihat perancangan konkrit yang mampu menjamin masa depan mereka,” katanya ketika ditemui Berita AAC.
Beliau menambah, formula politik berpaksikan masa depan ini terbukti berkesan apabila saluran pengundi muda mula memihak kembali kepada UMNO dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu seperti di Johor dan Negeri Sembilan.
Menyentuh mengenai gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diilhamkan Presiden, beliau menyifatkan inisiatif itu amat tepat pada masanya bagi menyatukan kembali orang Melayu yang kini berpecah kepada pelbagai wadah politik.
Beliau turut menarik perhatian bahawa sebahagian besar tokoh utama yang menerajui parti-parti politik lain pada hari ini hakikatnya lahir dan pernah menjadi pimpinan kanan di dalam UMNO sendiri.
Justeru, Ahmad Razif menyeru agar pemimpin serta ahli yang berada di luar kembali bersatu di bawah payung UMNO bagi memartabatkan agenda Melayu dan Islam secara menyeluruh tanpa meminggirkan kaum lain.
#BeritaAAC #PAU #UMNOBangkit #RumahBangsa #PolitikMalaysia