KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak wajar dijadikan gelanggang untuk melampiaskan amarah, ketidakpuasan hati atau medan memaki-maki pihak lawan seperti yang dilakukan oleh segelintir parti politik lain.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Dato’ Hasnal Rezua Merican menegaskan, UMNO memiliki martabat serta DNA tersendiri sebagai sebuah parti yang dilahirkan di istana dan mempunyai sejarah mentadbir negara selama lebih enam dekad.
Beliau melahirkan rasa kagum terhadap Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang disifatkannya sangat padat dengan pengisian berkualiti serta matang walaupun disulami dengan nada berseloroh dan bersahaja.
Menurutnya, intipati ucapan tersebut menepati harapannya sebelum ini yang mahu melihat perhimpunan kali ini memfokuskan kepada tawaran masa depan rakyat, bukannya pentas melepaskan kemarahan.
”UMNO berbeza. Kita bukan seperti parti-parti kerdil yang dibentuk atas dasar kemarahan, perjuangan individu mahupun rentetan perpecahan parti lain,” katanya ketika ditemui media selepas sesi ucapan dasar tersebut.
Mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang sebelum ini menggunakan pentas persidangan seperti di MITC untuk menghina kepimpinan UMNO, beliau mengingatkan agar ahli parti tidak sesekali terperangkap dengan provokasi murahan tersebut.
Jelas beliau, UMNO harus berdiri tegak di tahap yang lebih tinggi dan tidak perlu membalas cercaan seperti label ‘sakau’ dan maki hamun dengan kaedah yang sama.
Sebaliknya, Hasnal menyambut baik pembentangan agenda ‘Malaysia Biru’ yang merangkumi lapan teras utama bagi memacu hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) melangkah ke hadapan.
Beliau menyifatkan kerangka tersebut sebagai manifestasi jelas bahawa parti ini bersiap sedia menjadi sebuah kerajaan masa hadapan atau government-in-waiting yang berwibawa.
Sehubungan itu, beliau menyeru para perwakilan agar membawa naratif positif ini ke peringkat akar umbi bagi memberi kefahaman menyeluruh kepada rakyat mengenai tawaran sebenar parti.
”Rakyat perlu diyakinkan bahawa kita mempunyai hala tuju yang sangat jelas dan terbukti bersedia untuk kembali menerajui pentadbiran negara pada bila-bila masa,” tambah beliau.
#BeritaAAC #PAU #UMNOSelayang #MalaysiaBiru #PolitikMatang