KUALA LUMPUR, 11 September 2026 — Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO disifatkan membawa satu anjakan paradigma dan tawaran penyelesaian konkrit kepada rakyat, bukan sekadar menjawab retorik politik.
Ketua Penerangan Veteran UMNO Malaysia, Dato’ Zainal Abidin Sakom menegaskan, UMNO kini bergerak ke arah kaedah baharu dengan mengemukakan pelan jelas tadbir urus negara sekiranya kembali diberi mandat penuh memerintah.
Menurut beliau, gagasan baharu seperti “Malaysia Biru” yang dibentangkan Presiden merupakan satu cadangan dasar komprehensif bagi memastikan ekonomi rakyat melonjak ke tahap pemilikan dan keupayaan memberi, bukan sekadar penerima bantuan semata-mata.
Beliau turut menarik perhatian terhadap ucapan tersebut yang menyentuh soal pematuhan janji politik, khususnya berhubung penubuhan kerajaan semasa di bawah titah Yang di-Pertuan Agong.
Zainal Abidin mendedahkan bahawa persetujuan awal secara bertulis adalah pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan dan bukannya sebuah Kerajaan Madani yang didakwa tidak pernah diputuskan secara konsensus peringkat awal mahupun kelulusan rasmi kabinet.
Menyentuh mengenai perhimpunan dan perbincangan akar umbi, beliau menyeru kepimpinan serta ahli parti memanfaatkan ruang untuk memperhalusi tawaran dasar tersebut dan bukannya membuang masa membalas tohmahan di kedai kopi.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai penangguhan keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zainal Abidin menegaskan, hak mutlak mengampunkan mana-mana individu terletak sepenuhnya di bawah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mengingatkan mana-mana pihak agar tidak cuba mendahului undang-undang atau menggerakkan tekanan awam bagi menafikan kuasa perlembagaan institusi Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa sama, Veteran UMNO meletakkan harapan agar satu keputusan yang adil dan terbaik dapat diputuskan buat Datuk Seri Najib yang dianggap banyak berjasa kepada negara.
Mengakhiri kenyataannya, beliau mengulangi jaminan Presiden parti bahawa UMNO tidak akan berdendam mahupun campur tangan dalam urusan kehakiman sekiranya kembali mentadbir kerajaan secara penuh pada masa hadapan.
#BeritaAAC #VeteranUMNO #MalaysiaBiru #NajibRazak #PerhimpunanAgungUMNO