
KUALA LUMPUR, 15 September 2026 – Sebuah syarikat penyedia insurans terkemuka yang berpangkalan di kawasan Leboh Ampang dikecam hebat susulan sikap tidak bertanggungjawab dan mengabaikan tuntutan pampasan kematian seorang pencarum sejak hampir dua tahun lalu.
Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, meluahkan kekesalan tersebut dalam satu sidang media bersama seorang balu, Puan Leshmi Achibabu, 43, yang hadir dari Johor bagi menuntut keadilan.

Menurut Dr. Kalaivanar, mendiang suami pengadu, Rajesh Sinnasamy, telah meninggal dunia pada 18 Januari 2025 selepas sempat membayar ansuran pinjaman perumahan selama sembilan bulan daripada tempoh keseluruhan 27 tahun.
Sebelum ini, pencarum telah melunaskan bayaran premium tunggal (single premium) berjumlah RM34,890.75 bagi polisi Mortgage Level Term Assurance (MLTA) yang memperuntukkan jumlah perlindungan pampasan bernilai RM439,819.01 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.
Namun, sejak ketiadaan suami, Puan Leshmi yang kini bergelar ibu tunggal terpaksa menanggung bebanan hutang bulanan bank sebanyak RM1,850 demi mengelakkan kediaman keluarganya dilelong, di samping perlu menyara persekolahan anak-anak seorang diri.
Pengadu memaklumkan bahawa semua dokumen yang diminta oleh pihak bank dan insurans telah diserahkan sepenuhnya, namun permohonan tuntutan akhirnya ditolak pada saat akhir atas alasan kononnya si mati menghidap penyakit sebelum ini tanpa pernah melalui sebarang pemeriksaan perubatan rasmi oleh pihak insurans.
Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa pihak syarikat insurans berhuruf pangkal ‘A’ itu bersikap terlalu angkuh apabila gagal memberi sebarang maklum balas bertulis secara rasmi, walaupun surat aduan dan Letter of Demand (LOD) melalui peguam telah diserahkan pada Julai dan Ogos lalu.
Malah, tindakan wakil sekretariat yang hadir secara profesional bersama mangsa ke pejabat syarikat berkenaan baru-baru ini turut dinafikan apabila pihak pengurusan keselamatan syarikat enggan menerima sebarang dokumen dan pertemuan.
Aktivis itu turut mempersoalkan ketegasan pemantauan pihak Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (FMOS) serta Bank Negara Malaysia (BNM) dalam membela hak pengguna daripada terus ditindas oleh sikap manipulatif sesetengah entiti korporat.
Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara kini memberikan tempoh kata dua selama 48 jam kepada syarikat insurans berkenaan untuk menyelesaikan tuntutan mangsa secara sah sebelum tindakan saman difailkan di Mahkamah Sesyen, selain mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi membuka mata orang ramai.
#KeadilanPengguna #SkandalInsurans #BeritaAAC #TuntutanMLTA #BelaIbuTunggal