
SHAH ALAM , 15 September 2026 – Tindakan sepihak syarikat utiliti gergasi, Petronas Gas Berhad (PGB), memasang pengadang ketinggian (height barrier) 2.1 meter di laluan masuk utama Lot 3472, Jalan Kampung Jawa, mencetuskan kemarahan penduduk sehingga disifatkan sebagai tindakan ala “samseng” dan mencabuli hak asasi pemilik tanah.
Kekesalan itu disuarakan oleh Aktivis Sosial Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dato’ Dr. Kalaivanar, ketika hadir menyerahkan memorandum bantahan rasmi kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Wisma MBSA, hari ini.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, struktur penghalang tersebut dipasang dan dikunci secara tergesa-gesa tanpa sebarang perintah mahkamah atau injunksi yang sah, biarpun ia melibatkan pertikaian sivil berkaitan hak laluan aksesibiliti.
Lebih mengecewakan, beliau mendakwa kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengiringi kerja-kerja pemasangan dan penguncian palang tersebut dilihat sebagai satu bentuk intimidasi terhadap pemilik tanah yang sah, Puan Magesvari Muniandy, yang telah mendiami kawasan itu melebihi 30 tahun.
”Ini adalah pertikaian sivil, bukannya kes jenayah. Mengapa perlu bawa pihak polis untuk mengunci penghadang jalan seolah-olah bertindak seperti penyamun? Carian rasmi geran mukim juga jelas membuktikan tiada sebarang kaveat atau denai laluan (wayleave easement) yang didaftarkan atas nama Petronas Gas,” tegas beliau.
Beliau turut mempersoalkan sikap lepas tangan wakil rakyat kawasan berkenaan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa dan Ahli Majlis Zon MBSA yang didakwa gagal membela nasib pengundi serta seolah-olah bersekongkol dengan pihak agensi dan korporat.
Mengulas mengenai aspek keselamatan, SBKN menegaskan sekatan setinggi 2.1 meter itu secara terang-terangan melanggar Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) kerana menghalang jentera pemadam api (ketinggian 3.2m–3.6m) dan ambulans kecemasan (melepasi 2.4m) daripada memasuki premis sekiranya berlaku malapetaka.
Bagi meredakan ketegangan, pihak SBKN telah mengemukakan cadangan kompromi kejuruteraan iaitu pembinaan perisai struktur keluli padat (hard iron structural shielding / casing) di atas jajaran paip gas sebagai penyelesaian situasi menang-menang (win-win solution) bagi menampung beban kenderaan tanpa perlu memasang palang penghalang.
Sehubungan itu, SBKN memberi kata dua dengan menuntut MBSA mengeluarkan Notis Meroboh Halangan Haram di bawah Seksyen 46(3) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada Petronas Gas Berhad dalam tempoh 48 jam, selain memanggil mesyuarat penyelarasan teknikal tiga pihak dalam masa tujuh hari.
#BeritaAAC #PetronasGasBerhad #IsuRakyat #KgJawaKlang #MBSA