KUALA LUMPUR, 17 September 2026 — Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh kononnya pendirian tegas beliau di dalam Lembaga Pengampunan berhubung isu Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat secara jujur demi kepentingan negara tampil dipersoalkan secara terbuka oleh kepimpinan UMNO Wilayah Persekutuan.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar mempersoalkan tahap ketelusan dan kejujuran kenyataan tersebut, sambil mengaitkannya dengan siri penolakan keras pemimpin DAP sebelum ini terhadap sebarang usaha pengampunan bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Gulam, sebelum ini pimpinan DAP begitu tegas menolak pengampunan Najib sehingga timbul desakan melepaskan jawatan kabinet jika bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah.
Beliau turut mengimbas kembali naratif dan persepsi yang pernah dibina DAP bersama jentera Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) akan membawa kepada pembebasan Najib secara serta-merta.
Atas dasar itu, Gulam berpandangan kehadiran dan pandangan yang disuarakan oleh Hannah dalam Lembaga Pengampunan bukanlah atas kapasiti peribadi mahupun jawatan Menteri Wilayah Persekutuan semata-mata, sebaliknya bertindak sebagai proksi kepada kemahuan DAP.
”Kehadiran beliau dilihat lebih kepada menjadi penyambut lidah, suara atau ‘mens rea’ DAP di dalam Lembaga Pengampunan akibat tekanan kuat kepimpinan utama parti tersebut,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, isu pengampunan Najib disifatkan sebagai perkara “hidup atau mati” buat DAP kerana parti berkenaan berisiko kehilangan sokongan tegar pengundi mereka sekiranya pengampunan penuh atau tahanan rumah itu direalisasikan.
Justeru, Gulam menegaskan orang ramai tidak wajar meletakkan beban kesalahan semata-mata di bahu Hannah Yeoh, memandangkan beliau berkemungkinan hanya mematuhi arahan pucuk pimpinan parti demi mempertahankan kehendak DAP.
Sebaliknya, beliau menuntut Setiausaha Agung DAP, YB Anthony Loke tampil ke hadapan untuk memberi penjelasan sebenar dan bukannya membiarkan Hannah Yeoh berdepan kecaman serta kritikan orang ramai secara bersendirian tanpa sokongan kepimpinan parti.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam menzahirkan rasa simpati terhadap Ahli Parlimen Segambut itu yang dianggap terpaksa memikul peranan sebagai “mak sanggup” demi menutup perancangan politik partinya.
Beliau mendakwa langkah meletakkan Hannah di portfolio Wilayah Persekutuan menerusi rombakan sebelum ini dilihat sebagai satu strategi politik DAP yang sengaja digerakkan bagi menghalang pembebasan Najib Razak.
#BeritaAAC #HannahYeoh #NajibRazak #DAP #UMNOBatu