KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, dijangka dizahirkan secara lebih jelas dan terbuka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Penganalisis politik, Dr. Norman Sapar berkata, kehendak ke arah penyatuan itu semakin nyata susulan Ucapan Dasar Presiden BN baru-baru ini yang secara jelas menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan PAS.
Menurut beliau, kehadiran pimpinan PAS pada majlis tersebut memberi mesej politik yang cukup kuat berbanding ketiadaan sebarang wakil daripada gabungan lain seperti Pakatan Harapan (PH).
“Dari segi kerjasama untuk PRN Melaka, kita nampak semakin jelas bahawa BN akan bekerjasama dengan parti komponen PN iaitu PAS. Malah, perkara ini turut ditegaskan dalam ucapan Presiden,” katanya dalam sesi temubual ‘Sembang Kopi’.
Mengulas lanjut, Dr. Norman menjelaskan bahawa corak kerjasama kedua-dua entiti itu telah menunjukkan perkembangan positif menerusi PRN terdahulu di Johor dan Negeri Sembilan.
Jelas beliau, jika di Johor kerjasama masih dilihat samar-samar di peringkat akar umbi, formula di Negeri Sembilan pula berjaya mengelakkan sebarang pertembungan kerusi sesama sendiri.
“Di Melaka, saya melihat kerjasama ini akan menjadi jauh lebih jelas dan mungkin diuar-uarkan secara rasmi serta terbuka, termasuk agihan pembahagian kerusi yang bakal ditandingi BN dan PN,” ujarnya.
Menyentuh reaksi parti lawan, beliau menegaskan gabungan lain khususnya PH tidak berhak menentukan hala tuju atau mempertikaikan kesepakatan yang terjalin antara BN dan PN.
Katanya, BN dan UMNO sentiasa berpaksikan kepada suara akar umbi, di mana majoriti pengundi Melayu hari ini menolak amalan politik retorik serta fahaman ideologi sempit.
“Majoriti rakyat mahukan penyatuan antara ‘biru dan hijau’. Ini kehendak rakyat, dan gelombang ini adalah sesuatu yang tidak boleh dihalang lagi oleh mana-mana pihak,” tegas beliau.
Beliau optimis bahawa PRN Melaka bakal menjadi medan terbaik bagi memperkukuh penjajaran politik baharu demi kestabilan masa depan negara.
#PRNMelaka #BeritaAAC #BNdanPN #PenyatuanUmmah #PolitikMalaysia