PUTRAJAYA, 17 September 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semula keputusan kes kemalangan maut membabitkan sebuah kereta mewah jenis BMW dan motosikal di Jalan KL–Ipoh berhampiran Kampung Kalumpang, yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Aktivis sosial merangkap wakil sekretariat berkenaan, Dato’ Dr. Kalaivanar berkata, nahas tragis yang berlaku pada 5 Januari lalu sekitar jam 8.30 malam itu telah meragut dua nyawa iaitu penunggang motosikal warga tempatan, Manickam Arnasalam, 57, serta pembonceng warga India, Annai Muthu Sellappan Govindasamy.
Menurut beliau, impak rempuhan kenderaan BMW berkenaan disifatkan amat dahsyat sehingga menyebabkan bonet hadapan kenderaan itu remuk, manakala mangsa tercampak puluhan hingga ratusan meter di hadapan sebuah surau di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala (severe traumatic head injury).
Beliau mempersoalkan tindakan pihak penyiasat Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu yang mengambil masa sehingga lapan bulan sebelum memaklumkan kepada waris bahawa kes berkenaan ditutup dan dirujuk NFA.
”Keluarga mangsa terpaksa berulang-alik dan menunggu berbulan-bulan hanya untuk diberitahu kes sudah ditutup. Mengapa tiada pertuduhan dibuat di mahkamah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedangkan dua nyawa telah melayang?” soal beliau dalam satu sidang media bersama keluarga mangsa.
Tambah beliau, pihak keluarga turut menuntut pengesahan bertulis daripada pihak berkuasa sama ada saringan ujian toksikologi, alkohol dan dadah terhadap pemandu BMW terbabit telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sejurus selepas nahas.
Justeru, Dr. Kalaivanar memohon campur tangan budi bicara Peguam Negara agar mengarahkan pihak polis membuka semula kertas siasatan dan mendakwa pemandu terbabit, atau memohon pihak Mahkamah Majistret menjalankan prosiding inkues koroner bagi merungkai punca sebenar kematian secara telus.
Beliau menegaskan bahawa tuntutan ini bukan semata-mata pampasan, sebaliknya demi menegakkan keluhuran undang-undang dan memastikan keadilan terbela untuk rakyat marhaen tanpa mengira bangsa atau latar belakang.
Memorandum hari ini yang diserahkan oleh Dato’ Dr Kalaivanar telah diterima oleh Encik Amer Khusyairi, Ketua Unit Komunikasi Strategik Jabatan Peguam Negara.
#KeadilanUntukMangsa #KemalanganKalumpang #TuntutKeadilan #PDRM #BeritaAAC