
KUALA LUMPUR, 17 September 2026 — Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan digemparkan dengan pemecatan serta-merta Setiausaha DKU, YM Raja Norazli Bin Raja Nordin, berkuat kuasa hari ini, 17 September 2026.
Keputusan drastik tersebut dimaklumkan melalui warkah titah penamatan rasmi yang dizahirkan di Istana Serting, Negeri Sembilan.
Menerusi titah berkenaan, pelaksanaan penamatan perkhidmatan tersebut dibuat berasaskan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 25 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Susulan pemecatan tergempar itu, Raja Norazli dititahkan serta-merta untuk memberhentikan sebarang fungsi, tugas, mahupun representasi rasmi atas nama DKU.
Beliau turut diarahkan menyerahkan semula segala dokumen rasmi badan berkenaan, termasuk fail-fail berstatus sulit, minit mesyuarat, kod akses pejabat, serta sebarang harta milik DKU.
Bukan itu sahaja, warkah tersebut turut menitahkan beliau mengosongkan Pejabat Setiausaha DKU tanpa sebarang penangguhan.
Titah itu turut menegaskan bahawa warkah penamatan ini tidak memprejudiskan sebarang hak untuk mengambil tindakan lanjut yang difikirkan wajar terhadap tindak-tanduk beliau sepanjang memegang jawatan mahupun membawa diri sebagai Setiausaha DKU.
Perkembangan terkini ini mencetuskan tanda tanya pelbagai pihak mengenai punca sebenar tindakan tegas tersebut diambil secara mendadak terhadap pentadbiran institusi penting berkenaan.
#BeritaAAC #NegeriSembilan #DewanKeadilandanuUndang #IstanaSerting #Terkini