
PUTRAJAYA, 17 September 2026 — Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa Menteri Besar serta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan sama sekali tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Penegasan tersebut dibuat susulan penularan dokumen “Kenyataan Media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan – Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026” yang bertarikh 15 September 2026.
Menurut AGC dalam kenyataan media rasminya, sebarang penentuan kesahan dan kesan proklamasi berkenaan mestilah melalui lunas undang-undang serta proses perlembagaan yang sah, khususnya berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 (UUTKNS 1959).
Jabatan itu memberikan pandangan awal bahawa dokumen Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah kerana gagal mematuhi kehendak mandatori di bawah Perkara 10 UUTKNS.
Jelas AGC, tiada sebarang keterangan atau bukti yang menunjukkan mana-mana faktor hilang kelayakan di bawah Perkara 10(1) UUTKNS terpakai ke atas DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Walaupun Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa tertentu di bawah perlembagaan negeri, Perkara 10 UUTKNS turut menetapkan tatacara khusus dan asas pertimbangan ketat sebelum sebarang tindakan melucutkan takhta boleh diputuskan, yang mana setakat ini tiada fakta membuktikan prosedur tersebut telah dipatuhi.
Selain itu, AGC turut mendedahkan berbangkit isu berhubung keabsahan sebahagian Dato’ Undang yang menandatangani proklamasi itu, apabila ada antara mereka didakwa tidak lagi memegang jawatan secara sah selepas diturunkan mengikut adat luak masing-masing.
Keadaan tersebut menjadikan komposisi Undang Yang Empat tidak lengkap pada masa material, sekali gus mencetuskan pertikaian undang-undang dan adat yang serius.
Mengulas mengenai aspek adat, AGC memaklumkan bahawa pelantikan dan penurunan Dato’-Dato’ Undang tertakluk kepada Dewan Undangan dan Keadilan mengikut Perkara 16 UUTKNS 1959, di mana nasihat dewan terbabit adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Sehubungan itu, AGC mengklasifikasikan kenyataan media dan pengumuman oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan sebagai terbatal serta tidak mempunyai sebarang kesan di sisi undang-undang kerana dibuat di luar bidang kuasa.
AGC turut menambah bahawa perkara tersebut kini masih dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah dalam bentuk injunksi interlokutori (interlocutory injunction) yang sedang berkuat kuasa.
Justeru, semua pihak diseru agar menghormati proses kehakiman serta undang-undang yang sedang berjalan bagi membolehkan isu ini diselesaikan secara teratur dan berhemah.



#BeritaAAC #NegeriSembilan #TuankuMuhriz #JabatanPeguamNegara #IsuPerlembagaan