KUALA LUMPUR, 19 September 2026 – Tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengesahkan pandangan YB Hannah Yeoh selaras dengan prinsip DAP dalam Lembaga Pengampunan disifatkan sebagai ‘gol sendiri’ yang memerangkap Ahli Parlimen Segambut itu.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar mendakwa, pengakuan terbuka kepimpinan tertinggi DAP itu secara tepat membuktikan bahawa Hannah Yeoh sememangnya bertindak sebagai penyambung lidah parti dan bukannya bersuara atas kapasiti bebas.
Menurut beliau, beberapa hari sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan menegaskan bahawa pandangannya berhubung rayuan Datuk Seri Najib Razak dibuat secara jujur dan terus terang tanpa dipengaruhi agenda kepartian.
Bagaimanapun, Gulam menyifatkan usaha Hannah Yeoh untuk mengelak atau ‘tai chi’ daripada dikaitkan dengan sentimen parti akhirnya memakan diri susulan kenyataan balas Anthony Loke.
”Kenyataan SUA DAP itu tepat pada sasaran (bullseye). YB Hannah Yeoh sendiri terperangkap dengan kata-katanya yang cuba menghindarkan pandangannya itu bebas daripada pengaruh dan perjuangan DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meluahkan rasa simpati terhadap Hannah Yeoh yang didakwa terpaksa akur dengan kehendak parti sehingga dijadikan ‘kambing hitam’ dalam kemelut berkenaan.
Tambah Gulam, tindakan tersebut membawa implikasi besar terhadap kestabilan politik semasa, termasuk kemungkinan DAP membuat keputusan drastik untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
”Seterusnya menendang dan menjaringkan gol ke gawang sendiri, yang implikasi dan kemungkinan besarnya partinya akan membuat keputusan untuk meninggalkan kerajaan perpaduan. Kita tunggu dan lihat,” jelas beliau lanjut.
Mengulas mengenai spekulasi pengganti portfolio Menteri Wilayah Persekutuan sekiranya senario politik berubah, beliau secara terbuka mencadangkan beberapa nama daripada PKR untuk mengisi posisi tersebut.
Antara nama yang disebut termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, serta Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Polemik mengenai kedudukan dan pendirian wakil kerajaan dalam Lembaga Pengampunan terus menjadi tumpuan hangat pelbagai pihak, khususnya melibatkan dinamik hubungan antara parti komponen dalam kerajaan.
#BeritaAAC #HannahYeoh #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia #LembagaPengampunan