
KUALA LUMPUR, 18 September 2026 – Seorang lelaki warga tempatan yang disahkan menghidap HIV kini berdepan masa depan kelam apabila terpaksa hidup tanpa sebarang dokumen pengenalan diri selama kira-kira 30 tahun selepas mendakwa kad pengenalannya dibakar oleh bapa kandungnya sendiri sewaktu berusia 20 tahun.
Aktivis Sosial merangkap wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar mendedahkan bahawa mangsa, Jagadisan a/l Ganesan, 50, kini menggunakan nama Islam Muhammad Sufi bin Abdullah selepas memeluk Islam sewaktu menjalani hukuman di penjara.
Menurut beliau, Muhammad Sufi telah buntu dan berulang-alik ke pejabatnya selama lebih tujuh bulan bagi meminta bantuan untuk memohon semula kad pengenalan (MyKad) selepas usahanya menemui jalan buntu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dr Kalaivanar mempersoalkan ketidakcekapan dan layanan dingin pihak berkaitan, khususnya cawangan yang didakwa enggan bekerjasama, sedangkan mangsa mempunyai bukti dokumen sokongan termasuk rekod keluarga lama dan sijil kematian neneknya.
”Sistem pendaftaran negara kita sudah lebih 60 tahun merdeka dan amat teratur, mengapa perkara sebegini sukar diselesaikan? Sama ada dia menghidap penyakit atau mempunyai masa silam di penjara, hormati dia sebagai manusia atas dasar perikemanusiaan,” tegasnya dalam sidang media pada Jumaat.
Beliau turut membangkitkan persoalan bagaimana pihak Jabatan Penjara Malaysia serta pihak berkuasa sebelum ini boleh merekodkan kemasukan dan pendaftaran pengislaman individu berkenaan sekiranya tiada data asas yang wujud dalam sistem kerajaan.
Malah, ibu saudara mangsa juga dilaporkan bersedia untuk tampil menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa bagi mengesahkan pertalian darah serta kewarganegaraannya secara sah.
Dr Kalaivanar menegaskan pihaknya bersedia menanggung kos berkaitan proses terbabit, termasuk urusan cap jari, ujian DNA mahupun dokumentasi undang-undang demi memastikan mangsa mendapat hak identiti yang sah.
Sehubungan itu, pihak sekretariat akan mengutuskan surat rasmi kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) serta agensi agama berkaitan untuk membantu urusan kebajikan dan dokumentasi mualaf tersebut.
Pihaknya memberi tempoh sehingga tujuh hari bagi melihat maklum balas serta tindakan lanjut daripada agensi-agensi berkenaan sebelum sebarang langkah seterusnya diambil demi menuntut keadilan buat individu tersebut.
#BeritaAAC #DatoDrKalaivanar #IsuKadPengenalan #BantuMualaf #HakKemanusiaan