ALOR SETAR, 19 September 2026 — UMNO Negeri Kedah memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar tidak mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung perkenan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa keputusan berkenaan adalah sah di sisi undang-undang dan sama sekali tidak boleh dicabar di Mahkamah Sivil, justeru tidak wajar dijadikan polemik oleh mana-mana individu mahupun kelompok politik.
Mewakili kepimpinan UMNO Kedah, beliau merafak sembah menjunjung kasih serta menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas limpah ihsan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam membuat keputusan besar tersebut.
Menurut Mahdzir, keputusan berkenaan disambut dengan penuh rasa syukur serta penghormatan tidak berbelah bahagi terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong, sistem Perlembagaan, dan kedaulatan undang-undang negara.
”Pada masa yang sama, saya nak ingatkan bahawa jangan ada pihak yang cuba bermain sentimen dengan membuat kenyataan yang menidakkan kuasa Prerogatif Tuanku Agong yang sememangnya dibuat atas jalur undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau memperincikan bahawa Seri Paduka Baginda telah melaksanakan budi bicara mutlak di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak pengampunan secara sah tanpa ruang untuk dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Sehubungan itu, beliau menuntut seluruh lapisan masyarakat menerima keputusan berkenaan dengan berlapang dada serta mengikis sikap hipokrit atau dwi-standard dalam menilai perundangan negara.
”Jangan kerana pihak yang menerima keistimewaan itu bukan di pihak kita, kita terus menolak dan mempertikaikan keputusan tersebut, tetapi menyokong penuh tanpa pertikai apabila melibatkan pihak yang disokong,” tegasnya lagi.
Mahdzir turut memberi amaran agar perkembangan ini tidak dipolitikkan atau dijadikan modal manipulasi meraih undi dan populariti menjelang mana-mana pilihan raya hingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Dalam masa yang sama, beliau menitipkan doa agar bekas Perdana Menteri itu dikurniakan ketabahan sepanjang menyempurnakan baki hukuman di bawah ketetapan baharu tersebut, selain menyeru seluruh ahli UMNO bertenang dan tidak melampaui batas dalam sebarang reaksi.
Sebagai langkah sokongan moral dan kebajikan, Mahdzir mengumumkan pelancaran Tabung Solidariti Najib Razak di peringkat semua bahagian UMNO Kedah bagi membantu mantan Presiden UMNO itu melunaskan baki denda sebanyak RM50 juta yang dikenakan.
#BeritaAAC #NajibRazak #KuasaPrerogatifAgong #UMNOKedah #TahananRumah