KUALA LUMPUR, 19 September 2026 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan rasa tidak puas hati dan mengkritik keras kenyataan pihak pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa memberi pelbagai alasan berkaitan bebanan kos dan kekangan operasi syarikat utiliti berkenaan.
Naib Presiden PERKASA, Encik Irwan Fahmi Ideris menegaskan bahawa TNB sebagai syarikat gergasi tidak wajar mengadu menghadapi kesukaran sedangkan rekod kewangan syarikat itu mencatatkan keuntungan luar biasa mencecah berbilion ringgit saban tahun.
Menurut beliau, alasan lonjakan harga bahan api seperti arang batu dan pasaran pertukaran mata wang asing (forex) tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk membebankan rakyat. Tambahnya, keuntungan TNB bagi tempoh separuh pertama tahun ini sahaja sudah mencecah hampir RM2 bilion, sekali gus membuktikan syarikat berkenaan tidak berada dalam keadaan merugikan.
”Rakyat tidak pernah cemburu dengan gaji pihak atasan TNB yang mencecah ratusan ribu sebulan atau jutaan setahun, malah rakyat sentiasa berdisiplin membayar bil elektrik setiap bulan. Namun, apabila rakyat kini semakin tertekan dengan kenaikan tarif dan kos sara hidup, pihak pengurusan pula seolah-olah baru sedar akan kesusahan yang ditanggung pengguna,” tegas beliau.
Beliau turut mempersoalkan ketetapan langkah penyelesaian kerajaan dan TNB berhubung subsidi elektrik bersasar. Menurutnya, ketetapan bantuan bagi penggunaan sehingga 800 kWj dilihat hanya bersifat sementara dan bakal mencetuskan kegelisahan semula apabila tempoh pelaksanaan tersebut tamat kelak.
Menyentuh isu beban sara hidup secara menyeluruh, Irwan Fahmi menegaskan rakyat hari ini dihimpit dengan pelbagai kenaikan kos dan cukai yang tinggi, termasuk kutipan hasil negara yang mencecah ratusan bilion ringgit.
Beliau turut membidas pelaksanaan subsidi bersasar minyak dan penyaluran bantuan digital yang didakwa menyukarkan golongan peniaga kecil, warga emas serta masyarakat luar bandar yang tidak menggunakan telefon pintar atau kedai terpilih.
Mengulas mengenai alasan peningkatan penggunaan elektrik akibat cuaca panas dan jerebu, beliau meminta pihak berkaitan agar tidak memberikan alasan yang memperbodohkan rakyat. Beliau turut menggesa kerajaan menggunakan saluran diplomatik yang tegas bersama negara jiran bagi menyelesaikan masalah pencemaran jerebu bermusim yang membelenggu negara saban tahun.
Sebagai pengundi di Parlimen Tambun, Irwan Fahmi mengingatkan Perdana Menteri agar memberi fokus kepada penyelesaian tuntas isu asas dan kebajikan rakyat akar umbi, dan bukan sekadar meluluskan dasar yang akhirnya menekan rakyat biasa.
#BeritaAAC #TNB #IsuRakyat #PERKASA #KosSaraHidup