KUALA LUMPUR, 19 September 2026 — Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar, menegaskan bahawa hala tuju dan prinsip perjuangan politiknya kekal berlandaskan dua matlamat utama demi kelangsungan kuasa politik Melayu di negara ini.
Bercakap dalam satu temu bual baru-baru ini, beliau menegaskan prinsip pertamanya adalah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP.
Menurut beliau, selagi UMNO tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP seperti situasi terdahulu, kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan parti Melayu dapat dipertahankan.
Menyentuh matlamat kedua, Noh menyatakan keutamaan mutlak perlu diberikan kepada perpaduan antara parti-parti politik Melayu, khususnya UMNO dan PAS, agar tidak berlaku sebarang pertembungan sesama sendiri.
Beliau menambah, formula yang sama harus terpakai di antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan tiada persaingan kerusi yang merugikan orang Melayu.
Jelasnya, sekiranya BN dan PN dapat mengelakkan pertembungan dalam pilihan raya, kuasa politik Melayu mampu dikembalikan sebagai kuasa yang dominan di pentas politik tanah air.
Tambah Noh lagi, apabila dominasi kuasa politik Melayu berjaya dipulihkan, ia secara tidak langsung akan menjadi tarikan kepada parti-parti lain untuk kembali bersama dan membentuk kerajaan yang stabil.
Mengulas mengenai spekulasi sama ada beliau berhasrat untuk kembali bertanding di kawasan Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau menafikan mempunyai cita-cita mengejar kedudukan.
Noh menegaskan bahawa sepanjang penglibatannya dalam kancah politik, beliau tidak pernah meletakkan matlamat untuk mengejar kerusi atau menjadi calon semata-mata.
Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip sentiasa bekerja untuk rakyat dan menyerahkan ketetapan politik kepada masa dan keadaan.
Beliau turut menitipkan pesanan bahawa dalam dunia politik, seseorang itu tidak wajar mengejar jawatan kerana ‘semakin dikejar, semakin ia lari’.
Tegas Noh, asas paling utama dalam perjuangan politik adalah keikhlasan bekerja dan berkhidmat, dan ganjaran atau kepercayaan itu akan datang dengan sendirinya berdasarkan usaha yang dicurahkan.
#BeritaAAC #NohOmar #PenyatuanMelayu #PolitikMalaysia #MuafakatNasional