KUALA LUMPUR, 21 September 2026 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terhadap Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri Sembilan berhubung isu proklamasi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Presiden PUTRA, Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ketetapan berkenaan dibuat selepas perbincangan panjang lebar dalam Mesyuarat Bulanan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu pada 19 September lalu.
Menurut beliau, tindakan AMMK Negeri Sembilan yang membuat keputusan menyokong kenyataan 19 April oleh pihak Luak Undang disifatkan sebagai keterlaluan dan berisiko menjadi duluan (precedent) bahaya sekiranya dinormalisasikan.
”Kita tidak mahu tindakan ini menjadi ikutan kepada pihak lain untuk sewenang-wenangnya mencabar kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu. Fikirkan kesannya nanti; jangan marahkan nyamuk, kelambu pula yang dibakar,” tegas beliau dalam sidang media berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan terbabit mematuhi prosedur perundangan sebenar, termasuk merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri dan Jabatan Peguam Negara, selain mempersoalkan pendirian kepimpinan pusat parti pemerintah.
Susulan itu, Setiausaha Agung PUTRA, Nasrul Ali Hasan telah tampil membuat laporan polis rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Nasrul menjelaskan, Seksyen 121 Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan kesalahan melancarkan perang atau mencuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesebuah negeri, yang sebelum ini pernah digunakan dalam kes-kes ancaman kedaulatan negara.
PUTRA menegaskan, langkah berkenaan perlu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM bagi mengenal pasti sama ada wujud campur tangan politik atau niat mengganggu-gugat institusi beraja di bawah prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
Pihak PUTRA menyatakan bahawa mereka tidak berhasrat mencampuri urusan adat luak, namun menegaskan sebarang tindakan melibatkan institusi raja wajib mematuhi keluhuran perlembagaan dan undang-undang negara.
#BeritaAAC #IsuIstanaNS #PartiPUTRA #DaulatTuanku #KrisisNegeriSembilan