KUALA LUMPUR — Pakatan Harapan (PH) digesa membuktikan kekuatan politik mereka dengan mencadangkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan serta-merta sekiranya benar dakwaan bahawa UMNO kini berada dalam posisi yang lemah.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, naratif yang dimainkan sesetengah penganalisis kononnya isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak memberi kelebihan kepada PH sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Perdana Menteri untuk mendapatkan mandat baharu.
Beliau merujuk kepada strategi klasik The Art of War tulisan Sun Tzu yang menyarankan agar musuh diserang ketika mereka berada dalam keadaan paling rapuh.
Menurutnya, sekiranya formula peperangan itu diaplikasikan, PH tidak sepatutnya berlengah untuk menguji sokongan rakyat di peti undi bagi membolehkan Perdana Menteri meneruskan pentadbiran untuk penggal kedua.
Namun, Gulam menyifatkan situasi politik semasa agak janggal apabila UMNO yang dilabel tidak lagi kukuh berani tampil mencabar kepimpinan negara untuk membubarkan Parlimen.
Beliau mengibaratkan senario berkenaan seperti individu kelainan upaya mencabar jaguh berbadan sasa di gelanggang silat, namun pihak yang dianggap kuat dilihat mengelak daripada menyahut cabaran tersebut.
Tindakan itu, katanya, menimbulkan tanda tanya sama ada keengganan membubarkan Parlimen didorong oleh rasa hormat kepada rakan sekutu, sikap pengecut, atau hakikat sebenar bahawa kedudukan PH sendiri yang rapuh.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan PH agar tidak mengulangi kesilapan lampau seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.
Jelasnya, kempen PH yang memainkan sentimen pembebasan Najib jika Barisan Nasional (BN) menang terbukti gagal mempengaruhi pengundi sehingga menyaksikan gabungan itu tewas teruk di Johor.
Menyentuh soal sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu, beliau menegaskan Dana Solidariti Najib Razak menjadi bukti konkrit bahawa pengaruh dan kasih sayang rakyat terhadap ‘Bossku’ masih menebal.
Menurut Gulam, nilai RM50 juta bukanlah ukuran utama, sebaliknya jumlah transaksi yang mewakili sokongan jutaan rakyat itulah yang bakal menjadi ancaman dan membuatkan pihak lawan ‘cacing kepanasan’.
#BeritaAAC #PRU16 #BubarParlimen #PolitikMalaysia #Bossku